Bajet MAIWP 2023 cecah RM1.448 bilion

Mohd Daud (tengah), dalam sidang Pembentangan Bajet 2023 MAIWP di Dewan Seminar, PERKIM, Kuala Lumpur, pada 22 Nov 2022. (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan bajet 2023 mencecah jumlah RM1.448 bilion, peningkatan sebanyak 13.54 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM1.28 bilion.

- Advertisement -

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, ia adalah susulan anggaran pendapatan MAIWP menjelang tahun depan yang dijangka meningkat sebanyak 15.7 peratus (RM1.286 bilion) berbanding 2022 berjumlah RM1.11 bilion.

Beliau berkata demikian pada sidang pembentangan bajet 2023 di Dewan Seminar, PERKIM, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin.  

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Daud berkata, jumlah bajet 2023 tersebut adalah dengan peruntukan perbelanjaan agihan sebanyak RM1.177 bilion. 

“Sebanyak RM199.56 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, dan sebanyak RM70.782 juta  lagi diperuntukan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan MAIWP sepanjang  2023,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa anggaran perbelanjaan 2023 berkenaan, selain berdasarkan kepada peningkatan kutipan zakat yang diuruskan oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP sepanjang tahun berkenaan (yang disasarkan mencecah RM1.286 bilion itu), ia juga adalah disertai lain-lain anggaran pendapatan seperti sewaan, yuran pengajian, serta pelaburan dan terimaan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.

Sementara itu, bagi menampung anggaran perbelanjaan tahun 2023, ujar beliau, MAIWP juga telah menyediakan Bajet Defisit melalui pencairan rezab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.2 juta.

“Anggaran Bajet Defisit ini dijangka melebihi jumlah anggaran pendapatan tahun 2023 yang disasarkan oleh MAIWP,” katanya yang menambah bahawa pembentangan bajet 2023 MAIWP  berkenaan telah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 14 Nov lalu. 

Beliau juga menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa bagi  2023, MAIWP telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar itu bagi aktiviti pengagihan, pengurusan, dan pembangunan di setiap Wilayah Persekutuan yang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Outcome bajet MAIWP 2023 adalah bertemakan ‘Empowering & Enterprising’ (Pemerkasaan dan Pemberdayaan) sosio-ekonomi ummah,” ujarnya. 

Menurut Mohd  Daud lagi,intipati bajet 2023 justeru adalah memberi fokus kepada pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf; pemerkasaan modal insan melalui pendidikan, latihan dan kompetensi pegawai; promosi dan program yang berimpak tinggi; pengukuhan anak syarikat yang berdaya saing; dan pemakaian piawaian perakaunan yang telah ditetapkan.  

“Sehubungan, masyarakat diseru agar dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada MAIWP dalam memastikan peranan dan tanggungjawab kami untuk memacu kegemilangan ummah di Wlayah Persekutuan selari dengan visi dan misi MAIWP,” katanya.  – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -