Tuan Ibrahim fail saman fitnah terhadap Rafizi Ramli

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memfailkan saman terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas gagal memohon maaf dalam tempoh tujuh hari dan menarik balik kenyataannya yang mendakwa Tuan Ibrahim meluluskan projek tebatan banjir selepas pembubaran Parlimen.

- Advertisement -

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air itu, Writ saman dan Pernyataan Tuntutan berkenaan saman fitnah itu difailkan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz dan Zaid pada jam empat petang semalam.

“Seperti yang umum ketahui, saya telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 10 November 2022 kepada Mohd Rafizi Ramli atas kenyataan beliau yang sangat tidak bertanggungjawab dan memfitnah saya.

“Saya memberikan masa tujuh hari untuk beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Namun begitu, Mohd Rafizi Ramli tidak memberikan apa-apa respon bertulis kepada peguam saya, namun mengambil tindakan terus-terusan memfitnah saya dengan kenyataan demi kenyataan yang tidak berpaksi kepada kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, rakyat sudah tentu ingat bagaimana arwah Tan Sri Khalid Ibrahim dijatuhkan daripada kerusi Menteri Besar Selangor kerana taktik fitnah.

Justeru katanya, tindakannya itu dibuat demi menghentikan budaya politik fitnah, perbuatan tuduhan jahat, penyelewangan fakta dan penipuan yang jelas bertujuan untuk memfitnah dan menghancurkan kredibiliti Tuan Ibrahim dan PAS.

“Saya berharap mereka yang telah difitnah Rafizi turut akan mengikut jejak saya. Insya-Allah, saman tersebut telah diterima oleh mahkamah dan peguam saya akan menyampaikan saman tersebut kepada Mohd Rafizi Ramli.

“Saya berharap agak Mohd Rafizi Ramli berani berhadapan dengan proses mahkamah mengikut lunas undang-undang, dan bukan hanya berkokok melaungkan fitnah di media-media sosial dan pentas ceramah.

“Saya sahut cabaran Mohd Rafizi Ramli untuk menyaman beliau. Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan setebal 73 mukasurat dan pihak Mahkamah telah menerima writ saman tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -