BACHOK: Setiap hari gerak kerja kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dijalankan sehingga kira-kira jam 2 pagi.
Katanya, beliau bersama jentera kempen PAS yang menemui pelbagai pihak di mana sahaja, mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Menurutnya, ramai orang tanpa mengira usia, datang ingin bergambar dengannya, terutama anak-anak muda.
“Saya bersyukur dan teruja melihat sokongan pengundi pelbagai peringkat usia. Jumpa di mana pun, mereka ingin bergambar dan bertanya khabar.
“Begitu juga sokongan pengundi Cina dan Siam di Kampung Bala serta Jelawat, Alhamdulillah begitu positif.
“Sokongan yang begitu hebat memberi semangat untuk saya bekerja untuk rakyat Bachok, InsyaAllah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, pada minggu pertama kempen beliau berjumpa penduduk Siam di Kampung Bala dan semalam, bersama penduduk Cina di Jelawat.
Katanya, anak-anak muda juga begitu tekun bekerja dan cukup bersemangat membantu kempennya.
Syahir berkata, tempoh masa yang berbaki sekarang digunakan sebaiknya untuk mendekati pengundi termasuk anak-anak perantau yang baru pulang ke negeri ini.
“Hasil sembang santai saya bersama pengundi dan anak-anak muda, PERIKATAN NASIONAL tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022