Mengapa Rafizi tidak lawan saya di Indera Mahkota – Saifuddin

- Advertisement -

KUANTAN: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Pahang, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan kenapa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak bertanding di Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menentangnya.

- Advertisement -

Beliau melontarkan soalan itu susulan Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan dalam ceramahnya menyatakan dia sudah lama ingin ke Indera Mahkota.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) juga tidak habis-habis menyerangnya secara peribadi.

“Gabungan Pakatan Harapan tidak habis-habis menyerang peribadi saya dan menggunakan character assassination sebagai bahan kempen mereka,” ujarnya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PERIKATAN NASIONAL P.082 Indera Mahkota di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.

Beliau juga mendapat maklumat ada pihak yang mempergunakan bekas pegawainya yang bermasalah untuk menyerangnya sebagai modal kempen mereka.

Baginya, dengan itu PH jelas sudah kering idea dan modal kempen sehinggakan mereka akhirnya memilih untuk menyerangnya.

Ini, ujar beliau dapat dilihat apabila Rafizi telah datang ke Indera Mahkota sebanyak dua kali untuk berkempen dan menyerangnya.

“Dalam ceramahnya sendiri beliau sudah nyatakan bahawa beliau memang sudah lama ingin ke sini. Anehnya mengapa Rafizi sendiri tidak bertanding di Indera Mahkota dan melawan saya,” tambahnya.

Pada PRU kali ini, beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota berdepan dengan tiga lagi calon iaitu Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang), Zuraidi Ismail (PH) dan Datuk Quek Tai Seong (BN). – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -