PRU15: SPR didik pengundi cara isi undi pos

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat menjalankan kempen mendidik pengundi mengenai proses pengundian termasuk kaedah mengisi kertas undi pos.

- Advertisement -

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook SPR hari ini, Pengarah Akademi SPR Hasanul Isyraf Naim menerangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan selepas pengundi menerima sampul undi pos masing-masing.

Beliau berkata setiap pengundi akan menerima sampul berwarna coklat yang mengandungi dua sampul kecil berwarna putih dan merah jambu bagi pengundi negeri Perlis, Pahang dan Perak yang mempunyai pertandingan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala pengundi negeri lain hanya menerima sampul putih sahaja untuk peringkat Parlimen.

“Di dalam sampul B (putih), ada sekeping kertas iaitu Borang 2 dan sampul A (mengandungi kertas undi),” katanya.

Beliau berkata pengundi perlu memanggil seorang saksi warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, untuk membandingkan nombor siri pada kertas undi dengan nombor pada sampul A dan Borang 2.

“Sesiapa sahaja boleh jadi saksi, saudara, abang, adik, kakak atau jiran. Tiada masalah,” katanya.

Hasanul Isyraf berkata, jika kesemua nombor adalah sama, barulah pengundi dan saksi boleh mengisi Borang 2 mengikut arahan yang diberikan.

“Nama penuh pengundi diisi dengan huruf besar. Kemudian pengundi perlu tandatangan atau boleh juga guna cap ibu jari dan tulis nombor kad pengenalan serta tarikh.

“Selepas itu, minta saksi tulis maklumat pada ruangan di bawah mengikut arahan,” katanya, sambil menambah kata pengundi kemudiannya boleh memangkah kertas undi untuk memilih calon masing-masing.

Hasanul Isyraf mengingatkan pengundi pos agar tidak menanda kertas undi di hadapan saksi kerana undi ialah rahsia.

“Pangkah kertas undi pada satu calon yang dipilih sahaja, kemudian lipat kertas undi dan masukkan ke dalam sampul A dan gam sampul berkenaan,” katanya.

Hasanul Isyraf berkata Borang 2 yang telah lengkap diisi, perlu dilipat semula dan dimasukkan bersama sampul A ke dalam sampul B (putih) yang tertulis alamat pegawai pengurus bahagian pilihan raya.

Beliau berkata langkah sama juga digunakan untuk melengkapkan sampul berwarna merah jambu bagi pengundi Perlis, Pahang dan Perak.

Hasanul Isyraf berkata sampul berkenaan boleh dihantar ke pejabat pos berdekatan atau dihantar sendiri ke pejabat pengurus bahagian pilihan raya berkenaan.

Pemilih berdaftar yang mengundi secara pos boleh menonton video berkenaan di laman Facebook SPR melalui pautan di bawah :

www.facebook.com/sprgovmy/videos/807447943643911/

– BERNAMA

- Advertisement -