Naik taraf loji tingkat bekalan air bersih

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha meningkatkan bekalan air bersih bagi menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor, berkata, kerajaan negeri prihatin keperluan rakyat bagi menyediakan bekalan air terawat yang mencukupi dan berkualiti.

Katanya, menyedari betapa penting kualiti air yang dibekalkan, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi menaik taraf sistem proses di Loji Rawatan Air (LRA) Perol.

“Projek itu melibatkan kos sebanyak RM3.25 juta dari dana kerajaan negeri mengguna pakai sistem AWS Techonology.

“InsyaAllah, loji ini dapat membekalkan air berkualiti dengan kapasiti 7.5 juta liter sehari (MLD) kepada lebih kurang 3,500 akaun pengguna,” katanya ketika merasmikan loji tersebut, hari ini.

LRA Perol membekalkan bekalan air melibatkan 32 kampung antaranya Kampung Biah, Kampung Pangkal Pisang, Batu 8, Chenok, Peringat, Perol, Kor, Beta Hilir, Dewa Beta, Padang Layang, Nilam Puri, Kedai Mulong, Binjai, Tunjong, Lubok Jambu.

Selain itu Kampung Keling, Beta Hulu, Bechah Kura, Kera, Lating, Tembesu, Belimbing, Selor, Parit, Belukar, Berangan Kadok, Larak, Kubang Itek, Limbat, Talang, Chekli dan Lundang Paku.

Azami juga berkata, pada asalnya loji tersebut hanya merupakan rumah pam penggalak yang mendapat sumber air dari Kubang Kerian dan telaga di kawasan loji berkenaan.

Bagaimanapun katanya pada tahun 2012/2013 loji itu dinaik taraf menjadi Loji Rawatan Air dengan peruntukan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). – HARAKAHDAILY 7/11/2022

- Advertisement -