Manifesto PRU15 perlu ambil kira peribadi pemimpin

Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Manifesto yang diutarakan setiap parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) khususnya PRU15 pada tahun ini tidak menjadi ukuran keutuhan sesebuah parti untuk menang dan layak dilantik sebagai kerajaan, melainkan keperibadian pemimpin parti berkenaan diambil kira.

- Advertisement -

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, pada masa ini, rakyat terkesan dengan pemimpin-pemimpin yang mengambil rasuah, maka  penyakit itu perlu diubati segera.

Namun beliau melihat manifesto yang telah dibentangkan oleh Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang akan dilaksanakan sekiranya parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebagai lebih bersifat realistik ke arah pembangunan sumber manusia.

“Malaysia akan menghadapi PRU15 pada 19 Nov ini, namun setiap manifesto yang disampaikan oleh parti-parti yang bertanding adalah lebih kurang sama. 

“Bagaimanapun, 12 manifesto yang disenaraikan PERIKATAN NASIONAL itu merupakan suatu perancangan sesebuah parti yang memperincikan peranan dan perubahan yang akan direalisasikan parti itu jika ia terpilih menjadi perwakilan atau membentuk kerajaan,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Antara agenda yang diumumkan dalam manifesto PERIKATAN NASIONAL untuk PRU15 termasuklah melibatkan sektor ekonomi, alam sekitar, belia, sosial, pendidikan dan wanita.

Mengulas lanjut, ujar beliau, setiap manifesto yang diumumkan sesebuah parti politik yang bertanding dalam PRU seharusnya perlu dilaksanakan, bukan sekadar menabur janji manis semata-mata tetapi tidak dilaksanakan selepas menang dan seterusnya dilantik sebagai kerajaan. 

“Sebagai contoh, negeri Terengganu telah berjaya melaksanakan manifesto yang telah ditetapkan dalam PRU14,” ujarnya. 

Selain itu, Dr Mohd Syakir turut mengaskan bahawa kerajaan seharusnya meneliti dan mengambil kira kemampuan untuk melaksanakan setiap manifesto yang dijanjikan kepada rakyat. 

“Kerajaan perlu perkasakan pertahanan negara kerana isu pertahanan negara telah menjadi kerisauan dalam kalangan  rakyat pada masa kini. 

“Tumpuan bantuan pendidikan juga perlu diperkasakan di negara kita agar tidak lagi berlaku keciciran dalam pendidikan dalam kalangan anak-anak di Malaysia,” katanya.. 

Selain itu, beliau turut menekankan agar kerajaan yang memimpin selepas memenangi PRU15  kelak turut mengutamakan pembangunan luar bandar.

“Ini memandangkan pembangunan bandar sudah padat. Hubungan bandar dengan luar bandar perlu dikurangkan jurangnya,” tegas beliau.

Justeru, menurutnya lagi, rakyat bukan menagih belas ihsan kerajaan, sebaliknya kerajaan yang perlu menagih belas ehsan rakyat.

“Tanggungjawab pemimpin sekarang perlu menyelamatkan dirinya dan masyarakat daripada api neraka Allah, bukannya berbicara sekadar material tanpa kembali merujuk kepada imam dan takwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 07/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -