Pemimpin keluar PAS sukar dapat sokongan ahli

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Mana-mana pemimpin PAS yang keluar daripada parti itu tidak akan mendapat sokongan daripada ahli dan penyokong PAS.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan pengalaman sesiapa sahaja yang keluar daripada parti biasanya tidak akan mendapat sokongan.

Katanya secara umum begitu lebih-lebih lagi sekiranya pemimpin terbabit menjadi calon parti lain.

“Kemenangan pemimpin berkenaan (Dato’ Che Abdullah Mat Nawi) sebelum ini kerana atas dasar parti dan bukan peribadinya.

“Malah ahli dan penyokong Umno pun tidak semua akan menyokongnya. Bagaimanapun saya tidak mahu membuat andaian lebih memandangkan dia orang Tumpat.

“Tetapi saya boleh nyatakan kedudukan PAS tak tergugat. Biarpun Che Lah menang pada PRU14 dengan majoriti 17,000 undi, itu bukan majoriti milik PAS,” katanya pada sidang media selepas meraikan 20 NGO anak muda Tionghua dan India di sini hari ini.

Semalam, BN mengumumkan Che Abdullah bertanding di Parlimen Tumpat menggunakan tiket BN pada PRU15.

Takiyuddin juga berkata, dari segi keahlian mengikut perlembagaan PAS, secara automatik keahlian Che Abdullah gugur berikutan sudah menyertai parti politik lain termasuk menjadi calon.

“Mengikut perlembagaan PAS apabila seseorang ahli itu menyertai parti lain boleh jadi dalam konteks menjadi calon parti lain dalam pilihan raya, dianggap sudah tergugur keahlian secara automatik,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -