Iktibar agung surah al-Isra’ (17)

- Advertisement -

MANUSIA akan beramal mengikut keselesaannya di dunia, begitu juga apabila meninggal dunia. Dia akan mati ikut amalannya. Para ulamak berpesan supaya kita mempunyai tabiat yang baik dan melakukan perkara yang benar agar kita dimatikan dengan cara yang baik. 

- Advertisement -

Salah satu daripada tiga soalan yang ditanya oleh ahli kitab kepada kaum Musyrikin Makkah untuk menguji kebenaran risalah Rasulullah S.A.W adalah berkaitan dengan roh. Ia merupakan suatu urusan Allah S.W.T dan sedikit sahaja ilmu yang diberikan kepada kita mengenainya. 

Al-Quran boleh dihilangkan jika Dia kehendaki sama ada yang diajarkan kepada Nabi S.A.W atau yang terdapat pada kita mahupun para huffaz. Walau bagaimanapun, ia kekal sehingga ke hari ini sebagai rahmat atau tanda kasih sayang-Nya. Kita boleh merujuk pelbagai pengajaran dan panduan yang terkandung di dalamnya dan mengamalkannya dalam kehidupan. 

Kehebatan al-Quran tiada tandingan

قُلْ لَّىِٕنِ اجْتَمَعَتِ الْاِنْسُ وَالْجِنُّ عَلٰٓى اَنْ يَّأْتُوْا بِمِثْلِ هٰذَا الْقُرْاٰنِ لَا يَأْتُوْنَ بِمِثْلِهٖ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيْرًا

“Katakanlah, “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa (dengan) al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun mereka saling membantu satu sama lain.””

(al-Israk: 88)

Ayat ini berbentuk satu cabaran daripada Allah kepada makhluk seperti jin dan manusia yang tidak mampu menghasilkan ayat-ayat yang setanding dengan al-Quran. Ini merupakan antara mukjizat al-Quran. Pada suatu ketika dahulu, ramai orang Arab jahiliyah tidak mempercayai risalah Baginda dan bahawasanya al-Quran itu datang daripada-Nya melalui malaikat Jibril yang disampaikan kepada Rasulullah S.A.W dan disampaikan kepada kita semua. 

Mereka sangat terkenal dengan kehebatan sastera. Pada musim haji, setiap tahun diadakan pertandingan syair. Syair yang terbaik pada setiap tahun digantung di Kaabah. Antara penyair yang terkenal ialah An-Nabighoh Azzubyani, Antarah bin Syidad dan Umru’ul Qais. Namun begitu, syair mereka tetap tidak dapat menandingi al-Quran walaupun ada syair yang berunsurkan ketuhanan amat disukai oleh Rasulullah. Inilah kehebatan dan keistimewaan yang ada pada al-Quran. 

Cabaran ini bukan sahaja berhenti setakat pada zaman Baginda S.A.W malah akan berterusan sehingga ke hari kiamat. Bagi sesiapa sahaja yang tidak mempercayai al-Quran, cubalah membuktikan dengan ilmu dan kemahiran bahasa yang dimiliki. Bahkan kini pastinya sangat sukar untuk menemui sasterawan Arab yang hebat seperti dahulu.

Penguasaan sastera sangat tinggi pada zaman dahulu seperti pantun yang ‘sedap’ didengar beserta bahasa, perkataan dan juga ritmanya yang hebat. Mereka boleh berpantun ketika bergurau, mengetam padi, kenduri, bertikam, meminang dan sebagainya. Ditambah pula dengan pelbagai simpulan bahasa, peribahasa dan gurindam. 

Kebenaran al-Quran yang ditolak

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا لِلنَّاسِ فِيْ هٰذَا الْقُرْاٰنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍۖ فَاَبٰىٓ اَكْثَرُ النَّاسِ اِلَّا كُفُوْرًا

“Dan sungguh, Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan, tetapi kebanyakan manusia tidak menyukainya bahkan mengingkari(nya).”

 (al-Isra’: 89)

Allah S.W.T datangkan bermacam-macam perbandingan seperti cerita dan sejarah di dalam al-Quran dalam usaha memberikan petunjuk dan mengajak manusia kepada kebenaran. Tujuannya adalah supaya terbuka fikiran dan hati manusia kepada kebenaran Islam dan menerima Islam. Namun begitu, manusia masih tidak mahu menerimanya. 

Perhatikanlah kesan yang berlaku terhadap umat-umat terdahulu dan juga kerajaan-kerajaan hebat seperti Namrud dan Firaun yang melawan para Nabi dan Rasul, iaitu: 

1. Namrud yang melawan Nabi Ibrahim A.S akhirnya kalah. Nabi Ibrahim pada ketika itu hanya memiliki dua orang isteri dan seorang anak yang bernama Ismail, pengikut yang sedikit dan dilawan oleh ayahnya sendiri. Apabila Namrud mencabar Nabi Ibrahim, diberitahu kepadanya agar mengerahkan segala tentera dan berhimpun di tengah-tengah padang. Akhirnya, Allah menghantar nyamuk untuk menyerang mereka. 

2. Firaun yang melawan Nabi Musa A.S juga akhirnya kalah. Walaupun Nabi Musa mempunyai ramai pengikut, mereka hanya merupakan orang biasa bukan tentera. Disebabkan mereka tidak mampu melawan Firaun, Allah mengarahkan supaya mereka keluar dari bumi Mesir. Tentera Firaun mengejar mereka namun akhirnya mereka tenggelam dalam air laut yang terbelah dan pengikut Nabi Musa terselamat. 

Kisah-kisah ini merupakan kisah benar yang terkandung di dalam al-Quran. Buktinya melalui kajian, mayat Firaun dijumpai daripada hasil penemuan mumianya di muzium. Doktor mengesahkan bahawa Firaun mati akibat lemas dan hidup sezaman dengan Nabi Musa. 

Begitu juga dengan kisah kaum Tsamud dan ‘Ad, walaupun kisah mereka diketahui, orang Arab tetap tidak mahu beriman. Kaum Tsamud dan ‘Ad tinggal di kawasan Semenanjung Tanah Arab yang sama seperti orang Makkah. Nabi-nabi daripada kalangan orang Arab ialah Nabi Ismail, Nabi Hud, Nabi Soleh dan Nabi Muhammad. Nabi-nabi lain adalah daripada keturunan Bani Israel yang tinggal di luar Tanah Arab seperti Palestin dan Iraq. 

Perbezaan ketara antara ‘orang Islam yang jahat’ dan ‘orang bukan Islam yang baik’

Ajaran Islam kini yang semakin dicabar dalam pelbagai bentuk adalah berpunca daripada kefahaman Islam yang cetek dan pengaruh liberalisme sehingga tiada pertimbangan agama. Sehingga ada yang menyatakan sedemikian; 

“Tak apalah kafir pun pasal dia juruh (Tidak mengapa kafir sebab dia berperangai baik)” 

atau

“Hok ni tok juruh walaupun Isley (Yang ini tidak berperangai baik walaupun Islam)”

Sebenarnya terdapat perbezaan yang begitu ketara antara orang Islam yang tidak baik dan orang bukan Islam yang baik. Kita perlu mengambil kira mengenai pertimbangan akidah. Walaupun perangai orang kafir itu baik, tetapi dia bukan Islam. Orang bukan Islam tidak boleh diutamakan kerana soal akidah jauh lebih besar. Begitu juga dengan pepatah orang-orang tua yang tidak menggalakkan kita untuk berkawan dengan jin, iaitu: 

“Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia.”

Punca-punca ini telah berlaku sejak sekian lama. Orang Islam dahulunya terikut dengan amalan dan adat agama Hindu. Amalan-amalan pelik tersebut semakin lama semakin hilang disebabkan oleh pesanan para ulamak dan ilmu pengajian. 

Kini pengaruh Barat pula mula menguasai kerana umat Islam tiada filter. Kereta pun ada filter seperti air filter, oil filter dan petrol filter. Filter yang dimaksudkan di sini ialah agama yang dapat memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat. 

Kefahaman Islam yang kurang mencukupi akan menyebabkan kita berlaku biadab atau tiada adab. Misalnya tiada adab dengan Allah, ulamak dan ibu bapa. Ada yang mencabar Allah dan Nabi seperti menafikan ayat al-Quran, mempertikaikan hukum Islam yang diamalkan pada zaman sekarang, membahas Hadis sesuka hati, mempertikaikan poligami Baginda dan sebagainya. 

Berikut merupakan pecahan hukum bagi sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W yang perlu difahami agar hidup kita teratur iaitu:

1. Wajib – wajib diikuti sepertimana yang dilakukan oleh Baginda S.A.W.

2. Sunat – contoh berkahwin, poligami, memakai serban, menyimpan janggut, makan dengan mengangkat sebelah lutut, makan dengan menggunakan dua jari, memakai jubah.

3. Haram – contoh a) Menikahi melebihi empat orang isteri. Baginda mempunyai privilege atau keistimewaan untuk berkahwin sehingga memiliki sembilan orang isteri. b) Puasa Wisol iaitu berpuasa selama dua atau tiga hari berturut-turut tanpa berbuka. Puasa ini hanya boleh diamalkan oleh Baginda sahaja. 

Antara kisah yang sentiasa diulangi di dalam al-Quran adalah mengenai Bani Israel. Tiada bangsa yang paling jahat melainkan Bani Israel. Sehinggakan mereka sanggup membunuh para Nabi. Sikap mereka yang degil ini kadang-kadang turut menjadi ikutan dalam kalangan kita misalnya suka berbahas perkara yang kita sendiri tidak ketahuinya. 

Permintaan orang kafir yang bersifat kebendaan

وَقَالُوْا لَنْ نُّؤْمِنَ لَكَ حَتّٰى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْاَرْضِ يَنْۢبُوْعًاۙ

“Dan mereka berkata, “Kami tidak akan percaya kepadamu (Muhammad) sebelum engkau memancarkan mata air dari bumi untuk kami,”

(al-Isra’: 90)

Apabila Rasulullah S.A.W mengajak kaum Musyrikin Makkah kepada Islam dan menerangkan mengenai syurga, neraka dan hari akhirat, mereka menginginkan bukti seperti yang dinyatakan dalam ayat ini iaitu air yang terpancar keluar daripada bumi. Ia menjelaskan bahawa kebanyakan permintaan orang-orang kafir adalah bersifat materialistik atau kebendaan. 

Mereka mencabar Baginda supaya mengeluarkan air kerana kawasan Tanah Arab sangat kekurangan air bahkan air sungainya amat cetek:

اَوْ تَكُوْنَ لَكَ جَنَّةٌ مِّنْ نَّخِيْلٍ وَّعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الْاَنْهٰرَ خِلٰلَهَا تَفْجِيْرًاۙ

“Atau engkau mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu engkau alirkan di celah-celahnya sungai yang deras alirannya,”

(al-Isra’: 91)

Menurut mereka lagi, Nabi terlebih dahulu haruslah memiliki kebun tamar dan anggur dan di dalamnya ada sungai yang mengalir kerana memandangkan mereka mengetahui akan kehidupan Baginda yang amat susah:

اَوْ تُسْقِطَ السَّمَاۤءَ كَمَا زَعَمْتَ عَلَيْنَا كِسَفًا اَوْ تَأْتِيَ بِاللّٰهِ وَالْمَلٰۤىِٕكَةِ قَبِيْلًاۙ

“Atau engkau jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana engkau katakan, atau (sebelum) engkau datangkan Allah dan para malaikat berhadapan muka dengan kami,”

(al-Isra’: 92)

Tambahan pula, mereka mencabar supaya Rasulullah menurunkan langit secara berkeping-kepingan dan jatuh menimpa mereka atau menurunkan Allah dan malaikat itu sendiri untuk mereka saksikan:

اَوْ يَكُوْنَ لَكَ بَيْتٌ مِّنْ زُخْرُفٍ اَوْ تَرْقٰى فِى السَّمَاۤءِ ۗوَلَنْ نُّؤْمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتّٰى تُنَزِّلَ عَلَيْنَا كِتٰبًا نَّقْرَؤُهٗۗ قُلْ سُبْحَانَ رَبِّيْ هَلْ كُنْتُ اِلَّا بَشَرًا رَّسُوْلًا ࣖ

“Atau engkau mempunyai sebuah rumah (terbuat) dari emas, atau engkau naik ke langit. Dan kami tidak akan mempercayai kenaikanmu itu sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab untuk kami baca.” Katakanlah (Muhammad), “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”

(al-Isra’: 93)

Permintaan lain adalah supaya Rasulullah membina rumah yang diperbuat daripada emas. Mereka juga ingin menyaksikan Baginda naik ke langit dan kemudian turun sambil membawa kitab daripada-Nya yang boleh dibaca oleh mereka. Rumusannya adalah mereka ingin menyaksikan apa yang dibawa oleh Nabi secara mata kasar. 

Jelas bahawa Baginda tidak menjanjikan apa-apa kepada sesiapa yang mengikut ajaran Islam seperti pembinaan jambatan, menambah keluasan lapangan kapal terbang, tar jalan, menyelesaikan masalah longkang dan sebagainya. Baginda cuma mengajak umatnya kepada cara hidup Islam. 

Meninggalkan ajaran Islam dan mabuk dengan kebendaan sehingga lupa diri akan menyebabkan berlakunya kejatuhan kerajaan Islam seperti Kerajaan Umaiyah yang hidupnya mewah, melakukan maksiat, tidak terima teguran dan sebagainya. Begitu juga dengan kerajaan bukan Islam seperti yang dinyatakan di dalam buku yang berjudul ‘The Rise and Fall of Rom Empire’.

Contoh lain yang boleh dipelajari adalah berkaitan dengan pemilihan suami. Orang terdahulu memilih suami yang berakhlak baik walaupun kehidupannya susah. Begitu juga dengan bilal, tukang lagu, orang alim, imam dan cikgu di mana mereka tidak kaya tetapi sangat dihormati oleh masyarakat. Ia dibuat berdasarkan aspek rohani bukan secara zahir. 

Bakal menantu iaitu pihak lelaki yang masuk meminang akan disemak asal usul keluarganya terlebih dahulu. Bakal pengantin wanita pula akan terlibat dengan majlis khatam al-Quran yang bertujuan untuk melayakkannya menjadi isteri orang. Namun, kini yang dicari ialah wanita yang bertabarruj. Nilai agama semakin hilang dalam pemilihan menantu, kawan dan sebagainya. 

Teguran para ulamak buat kita semua adalah bukan untuk menghalang tetapi untuk memastikan hidup kita dalam keadaan yang baik. Sama seperti kita sebagai ibu bapa dalam menegur anak-anak kerana bimbang mereka akan jatuh atau tercedera misalnya. Begitu juga dengan agama yang berperanan untuk menjaga kita supaya tidak rosak. 

Larangan dalam agama cuma sedikit tetapi kita asyik menumpukan terhadap perkara yang haram semata-mata. Misalnya, kita suka membesarkan isu minuman yang dilarang iaitu minuman yang memabukkan seperti arak. Padahal ada banyak lagi minuman yang halal untuk diminum. Larangan ini adalah bertujuan untuk menjaga diri kita daripada mudarat terutama mudarat di akhirat nanti. 

Neraca Islam mesti diperbetulkan. Antara situasinya adalah seperti berikut:

1. Menghalalkan sesuatu yang haram.

Adalah tidak benar sama sekali sekiranya kita berusaha untuk menghalalkan sesuatu yang sudah jelas hukumnya haram dengan alasan anak muda zaman kini susah untuk dikawal. Misalnya amalan seks selamat yang pernah viral suatu ketika dahulu. Bermakna zina dibolehkan dengan memastikan tidak terkena penyakit dan tidak mengandung. Zina adalah perkara yang haram. Maka, kita sebagai orang Islam mestilah teguh dengan pendirian dan jelas dengan perkara yang sudah diharamkan. 

2. Persepsi buruk terhadap agama.

“Boleh maju ke kalau kita amalkan agama?” 

وَمَا مَنَعَ النَّاسَ اَنْ يُّؤْمِنُوْٓا اِذْ جَاۤءَهُمُ الْهُدٰٓى اِلَّآ اَنْ قَالُوْٓا اَبَعَثَ اللّٰهُ بَشَرًا رَّسُوْلًا

“Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman ketika petunjuk datang kepadanya, selain perkataan mereka, “Mengapa Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?””

(al-Israk: 94)

Semua permintaan mereka itu tidak mampu ditunaikan oleh Nabi kerana tugas Baginda hanya membawa risalah semata-mata. 

Mengharapkan pujian manusia adalah hal yang sia-sia

قُلْ لَّوْ كَانَ فِى الْاَرْضِ مَلٰاۤىِٕكَةٌ يَّمْشُوْنَ مُطْمَىِٕنِّيْنَ لَنَزَّلْنَا عَلَيْهِمْ مِّنَ السَّمَاۤءِ مَلَكًا رَّسُوْلًا

“Katakanlah (Muhammad), “Sekiranya di bumi ada para malaikat, yang berjalan-jalan dengan tenang, nescaya Kami turunkan kepada mereka malaikat dari langit untuk menjadi Rasul.””

(al-Isra’: 95)

Antara faktor orang-orang tidak mahu beriman dengan Nabi adalah kerana mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa seorang Nabi itu ialah manusia, mereka mahukan malaikat. 

Sekiranya yang menjadi penduduk dunia ialah malaikat, maka Allah akan menjadikan malaikat sebagai seorang Rasul. Namun begitu, penduduk dunia ialah manusia. Boleh sahaja Allah menjadikan malaikat itu seorang Rasul. Adapun begitu, mereka tetap akan mempersoalkannya dan hal ini dinyatakan dalam surah yang lain. Yang boleh dinyatakan seperti berikut;

“Malaikat  boleh la.. juruh.. takda nafsu.. taknak kepada wanita.. tak bermaksiat.. tak berbuat jahat..”

Sama seperti yang berlaku pada hari ini di mana manusia tidak mahukan kebenaran tetapi sekadar ingin memburukkan orang lain. Begitu juga dengan kisah Lukmanul Hakim dan anaknya yang menggambarkan bahawa itulah hakikat hidup. Terdapat lima situasi yang berlaku kepada Lukmanul Hakim dan anaknya yang tetap dilihat salah pada mata manusia lain iaitu:

1. Pada awalnya, Lukmanul Hakim menunggang seekor keldai manakala anaknya berjalan kerana dia masih muda. Apabila tiba di satu tempat, ada penduduk yang mengata buruk terhadapnya kerana beliau membiarkan anaknya berjalan. 

2. Beliau kemudian turun, menyuruh anaknya menunggang keldai tersebut dan beliau pula berjalan. Lalu, ada penduduk yang mengata buruk terhadap anaknya pula kerana membiarkan ayahnya berjalan. 

3. Mereka berdua pun turun dan berjalan. Setibanya di tempat lain, masih ada lagi penduduk yang melemparkan kata-kata buruk kepada mereka kerana keldai itu tidak ditunggang. 

4. Mereka berdua kemudian menunggang keldai itu. Lalu, ada penduduk yang menyifatkan mereka seumpama tiada sifat ihsan kepada binatang. 

5. Mereka pun mengambil keputusan untuk memikul keldai itu. Lalu, ada penduduk yang menggelar mereka sebagai orang gila kerana binatang yang sepatutnya ditunggang tetapi dipikul oleh mereka. 

Apa sahaja yang kita lakukan, tiada satu pun yang betul pada pandangan manusia lain kerana mereka akan mencari atau melihat pada sudut yang salah. Oleh sebab itu menurut ulamak, sekiranya kita melakukan sesuatu untuk mendapatkan pujian manusia, maka itu semua adalah sia-sia. Cukuplah kita lakukannya untuk mendapatkan keredhaan-Nya dan tiada masalah sama ada orang puji ataupun tidak. 

Nabi Muhammad S.A.W juga pernah dikritik. Setelah selesai peperangan, Rasulullah membahagikan hasil rampasan perang. Ada salah seorang yang tidak berpuas hati lalu mengatakan kepada Baginda bahawa pembahagian itu tidak adil:

“Wahai Muhammad, engkau tidak adil bahagi begini. Mengapa engkau beri yang ini kepadaku.. kepada orang lain pula engkau beri benda lain?”

Baginda terkejut sehingga merah mukanya apabila mendengar pertanyaan itu lalu menjawab yang bermaksud;

“Kalau orang seperti aku tidak adil, maka siapakah yang lebih adil daripadaku?” [1]

Disebut dalam satu riwayat, ramai Sahabat yang tercedera dalam peperangan. Mereka dahagakan air. Salah seorang daripada mereka baru sahaja ingin minum, namun dia terus berhenti ketika Sahabat di sebelahnya mengadu dahaga dan dia memberikan kepadanya air itu. Begitulah situasi tersebut berulang sehinggakan air itu sampai semula ke tangan orang pertama tadi namun dia tidak sempat minumnya kerana telah meninggal. Inilah sikap Sahabat yang terpuji kerana mengutamakan orang lain walaupun dirinya memerlukan. Sebab baginya, ada lagi orang lain yang lebih memerlukan [2]: 

قُلْ كَفٰى بِاللّٰهِ شَهِيْدًاۢ بَيْنِيْ وَبَيْنَكُمْۗ اِنَّهٗ كَانَ بِعِبَادِهٖ خَبِيْرًاۢ بَصِيْرًا

“Katakanlah (Muhammad), “Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu sekalian. Sungguh, Dia Maha Mengetahui, Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.””

 (al-Israk: 96)

Buatlah sesuatu perkara dengan niat semata-mata kerana Allah S.W.T. Mudah-mudahan hidup kita selamat dan memperoleh hidayah daripada-Nya. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 31 Oktober 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 4/11/2022

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 3610).

[2] Kisah ini dikatakan berlaku dalam perang Yarmuk sebagaimana yang dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Abu Nuaim dalam Kanzu al-Ummal.

- Advertisement -