Keseluruhan pembahagian kerusi PN selesai

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL (PN) akan dibuat di negeri masing-masing selepas proses pembahagian kerusi antara parti dalam PN selesai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beberapa kerusi dibawa kepada Majlis Presiden PN selepas gagal mendapat keputusan yang di peringkat jawatankuasa.

Katanya, pembahagian tersebut dilakukan selepas melihat potensi parti politik mana yang mampu memenangi kerusi terbabit.

“Semalam pembahagian kerusi bersama parti komponen di Semenanjung, PAS, Bersatu dan Gerakan selesai termasuk Sabah dan Sarawak, keseluruhan pembahagian kerusi sudah selesai.

“Kita bahagi ikut potensi parti boleh menang dalam satu-satu kawasan, hanya ada satu dua kerusi yang tidak boleh selesai di peringkat jawatankuasa kita angkat kepada Majlis Presiden untuk diputuskan,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Karnival KASA 2022 @ Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini. (Foto atas)

Hadir sama Ketua Setiausaha KASA Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang; anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan), Dr Ching Thoo Kim.

Ditanya mengenai khabar angin beliau yang beralih kerusi Parlimen di Pahang katanya, terserah kepada keputusan parti yang hanya akan diumumkan kepimpinan tertinggi parti tidak lama lagi.

“Saya sebagaimana pimpinan lain menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan di mana saya akan bertanding nanti.

“Tetapi hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian. Apa pun yang penting di mana kita diamanahkan, kita laksanakan tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya sepanjang diberi amanah untuk mengalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 28/10/2022

- Advertisement -