Teroka guna teknologi semasa gerak usaha dakwah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata teknologi semasa perlu digunakan dalam menggerakkan usaha dakwah.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya sebagai usaha menarik minat para penonton di semua lapisan umur khususnya anak muda untuk menghayati Al-Quran, segmen ibrah dan tadabbur Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) kali ini telah dipersembahkan dengan adunan bersama penggunaan teknologi AR (augmented reality) yang dapat dilihat oleh penonton di kaca TV.

Katanya, ia menambahkan kesan penghayatan kepada setiap ayat yang ditadabbur berasaskan fakta dan ilmu. 

“Alhamdulillah, pendekatan ini telah mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat.

“Pada hemat saya, ini juga memberikan petunjuk kepada agensi-agensi hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus berani meneroka penggunaan teknologi semasa dalam menggerakkan usaha-usaha dakwah pembangunan insan.

“Semoga ia menjadi wasilah kepada proses penambahbaikan kualiti kandungan dakwah kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penutup MTHQA ke-62 Tahun 1444H/2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pada majlis itu dan berkenan mengurniakan hadiah tempat pertama hingga kelima bagi kategori qari dan qariah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Meteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof.

Menurutnya lagi, usaha-usaha berterusan ke arah memantapkan kefahaman kepada Al-Quran secara holistik perlulah digerakkan secara berstrategik melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Tambahnya, penghayatan Al-Quran akan menjadi benteng dalaman yang ampuh kepada krisis sosial selain menyuntik semangat kepada umat Islam untuk terus memajukan negara dalam pelbagai disiplin ilmu.

Sesungguhnya, ujarnya perbendaharaan Al-Quran begitu kaya dengan pendekatan rabbani untuk membina negara yang sejahtera.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada JAKIM bersama semua agensi yang terlibat dalam penganjuran MTHQA pada tahun ini.

“Semoga segala usaha bakti semua mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wataala.

“Marilah bersama-sama kita berdoa agar turun mencurah-curah limpahan keberkatan Al-Quran kepada negara Malaysia dan seluruh negara Islam,” katanya.

Pada MTHQA kali ini, Peserta Malaysia, Sofizah Mousin muncul johan kategori qariah sementara Mohamed Sameer Mohamed Magahed dari Bahrain johan kategori lelaki manakala wakil Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan naib johan qari.

Keputusan MTHQA ke-62:

Bahagian Qariah
Johan: Sofizah Mousin (Malaysia – markah 89.66 peratus)
Kedua: Widadul Wahidah Mahamod (Singapura – 87.50)
Ketiga: Yuni Wulandari Hasin (Indonesia – 87.49)
Keempat: Dayangku Siti Ummi Syazana Pangiran Marjuki (Brunei – 84.83)
Kelima: Maryam Hashemi (Afghanistan – 82.33)

Bahagian Qari
Johan: Mohamed Sameer Mohamed Magahed (Bahrain – 93.33)
Kedua: Aiman Ridhwan Mohamad (Malaysia – 88.83)
Ketiga: Muhammad Rizqon (Indonesia – 88.34)
Keempat: Sabah Khalad Ali (Iraq – 88.01)
Kelima: Muhammad Sadis Abdul (Singapura – 87.16) – HARAKAHDAILY 24/10/2022

- Advertisement -