Iktibar agung surah al-Isra’ (15)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T telah memuliakan anak-anak Adam dengan memberikan segala kemudahan di atas muka bumi sama ada di daratan dan di lautan sehingga manusia boleh mencari rezeki yang baik yang disediakan oleh Allah. Manusia diberikan kelebihan yang mengatasi makhluk-makhluk lain iaitu boleh bergerak dengan mencipta kenderaan yang mengatasi jarak yang jauh dan masa yang singkat. Sebagai contoh, kapal terbang yang dicipta boleh bergerak dengan kelajuan yang tinggi, kapal laut yang dicipta bukan sahaja boleh berjalan di atas air malah menyelam ke dasar lautan. 

- Advertisement -

Manusia juga mampu mencipta mesin dan teknologi yang membolehkan manusia untuk meneroka sumber-sumber alam seperti berlian dan emas. Ia adalah hasil pemberian akal oleh Allah yang membolehkan manusia menggunakan teknologi dan menundukkan makhluk-makhluk yang lain.

Di akhirat, manusia akan dibangkitkan mengikut pemimpin masing-masing. Mengikut tafsir, pemimpin yang dimaksudkan ialah Nabi. Selain daripada Nabi dan Rasul, pemimpin mana yang diikuti oleh mereka? Orang yang terselamat ialah orang yang berada di atas jalan kebenaran iaitu jalan agama. Antara kelebihan yang diberikan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah umatnya yang paling ramai dan kualitinya lebih tinggi berbanding dengan umat Nabi-nabi yang lain. 

Jika kita tidak dapat melihat kebenaran atau ia disebut sebagai buta yakni buta fikiran dan buta mata hati, maka di akhirat nanti kita akan menjadi lebih sesat. Bermakna kita sudah tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya menanggung keburukan kita. Mungkin di dunia, kita tidak ditimpa azab-Nya akibat tidak mengikuti agama. Lihat saja orang kafir yang lebih kaya dan mewah kehidupannya serta jawatannya lebih besar di dunia, namun di akhirat itu semua langsung tidak memberikan apa-apa faedah. 

Perancangan kafir Quraisy terhadap Rasulullah S.A.W

وَاِنْ كَادُوْا لَيَفْتِنُوْنَكَ عَنِ الَّذِيْٓ اَوْحَيْنَآ اِلَيْكَ لِتَفْتَرِيَ عَلَيْنَا غَيْرَهٗۖ وَاِذًا لَّاتَّخَذُوْكَ خَلِيْلًا

“Dan mereka hampir memalingkan engkau (Muhammad) dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar engkau mengada-ada yang lain terhadap Kami; dan jika demikian tentu mereka menjadikan engkau sahabat yang setia.

(al-Isra’:73)

Ada puak Quraisy cuba mencabar Rasulullah S.A.W. Dahulunya ketika Baginda S.A.W mula-mula berdakwah, puak Quraisy berjumpa dengan Nabi. Mereka memberitahu bahawa hubungan mereka dengan Nabi sentiasa keruh. Lalu, mereka menyatakan hasrat untuk membuat suatu pakatan dengan Nabi iaitu berpakat untuk menyembah Tuhan Nabi pada hari itu dan pada keesokan harinya berpakat untuk menyembah berhala pula dan begitulah seterusnya bergilir-gilir.

Inilah jalan tengah yang diambil oleh puak Quraisy dan telah menyebabkan Allah menurunkan Surah al-Kafirun. Jadi, orang kafir berusaha untuk memesongkan umat Islam dengan pelbagai cara. Disebabkan oleh penentangan secara terbuka tidak dapat dilakukan, maka puak Quraisy menggunakan cara sedemikian yang kononnya untuk berdamai.

Nasib baiklah Nabi S.A.W tidak terpengaruh dan terpesong kerana jika tidak, sudah pasti Nabi mengikuti jejak langkah mereka. Sebab memang Nabi S.A.W mahu mereka memeluk Islam. Hati Nabi mungkin akan menjadi lembut sedikit kerana mereka bersetuju cuma tetap ingin melaksanakan beberapa perkara. Namun, Allah menyekat Baginda daripada meneruskan hasrat mereka melalui panduan wahyu:

وَلَوْلَآ اَنْ ثَبَّتْنٰكَ لَقَدْ كِدْتَّ تَرْكَنُ اِلَيْهِمْ شَيْـًٔا قَلِيْلًا ۙ

“Dan sekiranya Kami tidak memperteguh (hati)mu, nescaya engkau hampir saja condong sedikit kepada mereka.”

 (al-Isra’: 74)

Jika Allah tidak menjaga hati Nabi dan memperkukuhkan pendiriannya, nescaya Baginda akan terpengaruh dengan tawaran mereka:

اِذًا لَّاَذَقْنٰكَ ضِعْفَ الْحَيٰوةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيْرًا

“Jika demikian, tentu akan Kami rasakan kepadamu (seksaan) dua kali lipat di dunia ini dan dua kali lipat setelah mati, dan engkau (Muhammad) tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.”

 (al-Isra’:75)

Jika Nabi menuruti hasrat mereka serta berlembut dan bertolak ansur dalam bab prinsip, nescaya Allah akan menurunkan bencana dan kesengsaraan. Ada perkara yang orang Islam boleh bertolak ansur dengan mereka yang bukan Islam misalnya dalam bab muamalat seperti jual beli dan urusan kerja. Namun, perkara yang berkaitan dengan prinsip, dasar atau hal yang menyentuh akidah adalah tidak dibenarkan untuk bertolak ansur. Adapun contoh lain misalnya permintaan majikan yang bukan Islam terhadap orang Islam yang melangkau prinsip seperti tidak boleh menunaikan solat Jumaat, tidak boleh memakai tudung dan sebagainya juga tidak dibenarkan. 

Ada sesetengah daripada kita yang terlalu longgar dan ketat dalam urusan berhubung dengan orang bukan-Islam. Misalnya, tidak boleh bercakap dan berbaik dengan mereka. Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah berurus niaga dengan orang Yahudi. Baginda pernah berhutang dengannya dan berjanji akan membayarnya dalam masa tiga hari. Tetapi pada hari kedua, dia sudah mencari Baginda untuk menuntut hutangnya dan menggelar Baginda sebagai seorang penipu [1].

Baginda memberi penjelasan kepadanya lalu dia menyatakan bahawa dia sekadar ingin menguji Baginda. Dalam kitab sucinya, dinyatakan bahawa sikap Nabi akhir zaman ialah berlembut dengan orang lain. Semakin orang berkasar dengannya, semakin dia berlembut. Maka, benarlah apa yang dinyatakan itu. Sikap Baginda itu menunjukkan bahawa tiada masalah untuk berurusan dengan orang bukan-Islam dalam kehidupan harian kecuali dalam hal yang berkaitan dengan prinsip. 

Pegangan kita dalam kehidupan harian dapat digambarkan melalui Surah al-Kafirun yang menunjukkan tauhid secara amali manakala Surah al-Ikhlas menunjukkan tauhid secara teori. “Lakum dinukum waliyadin” adalah sebagai panduan atau garis pemisah antara orang Islam dan bukan-Islam. Orang bukan-Islam mengamalkan agama mereka dan kita mengamalkan agama kita:

وَاِنْ كَادُوْا لَيَسْتَفِزُّوْنَكَ مِنَ الْاَرْضِ لِيُخْرِجُوْكَ مِنْهَا وَاِذًا لَّا يَلْبَثُوْنَ خِلٰفَكَ اِلَّا قَلِيْلًا

“Dan sungguh, mereka hampir membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri (Makkah) kerana engkau harus keluar dari negeri itu, dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak akan tinggal (di sana), melainkan sebentar saja.”

(al-Isra’: 76)

Allah telah memberitahu kepada Nabi Muhammad S.A.W terlebih awal mengenai orang kafir. Musyrikin Makkah pernah berhimpun dan bermesyuarat di Dar al-Nadwah. Mereka merancang sesuatu yang perlu dilakukan terhadap Baginda. Terdapat beberapa cadangan yang diutarakan, antaranya ialah mengusir Baginda dari Makkah, menangkap dan memenjarakannya atau membunuhnya. Jika berlaku apa yang dirancangkan itu, nescaya Allah akan menewaskan mereka. Oleh sebab itu, apabila Baginda berhijrah ke Madinah, setelah sepuluh tahun Makkah jatuh dan orang Musyrikin semakin lemah, asyik kalah dalam peperangan dan akhirnya terpaksa menyerah dalam Peristiwa Fathu Makkah:

سُنَّةَ مَنْ قَدْ اَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنْ رُّسُلِنَا وَلَا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيْلًا

“(Yang demikian itu) merupakan ketetapan bagi para Rasul Kami yang Kami utus sebelum engkau, dan tidak akan engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.”

(al-Isra’: 77)

Sesiapa yang melawan Nabi dan Rasul, umatnya akan dimusnahkan oleh Allah S.W.T misalnya kaum Nabi Nuh yang musnah akibat banjir. Cuma Quraisy tidak dimusnahkan seperti kaum Nabi-nabi yang lain kerana Baginda membawa rahmat. Allah tidak menimpakan azab terhadap mereka di dunia cuma Allah memberi kehinaan dan kesengsaraan hidup. Kehinaan dapat dilihat daripada situasi kekalahan dalam peperangan dan kematian setiap ketua mereka. Kehebatan Quraisy akhirnya jatuh. Apabila berlaku peristiwa Fathu Makkah, mereka semua memeluk Islam. Inilah hukuman-Nya yang membuktikan bahawa kita tidak akan menang apabila melawan agama. 

Dari sudut lain, negara Barat kalah dengan Islam kerana Islam semakin naik dan semakin ramai orang bukan-Islam memeluk Islam. Orang Islam memegang jawatan besar dalam masyarakat misalnya Datuk Bandar dan sudah ramai orang Islam menjadi wakil rakyat. Inilah cara Islam menakluki negara Barat tanpa melalui peperangan. Dengan sendirinya Islam akan memerintah tanpa kita sedari. Kerja Allah tidak dapat difikir oleh manusia namun apa yang penting adalah kita bergerak dan memperjuangkan Islam.

Yakinlah suatu masa nanti Malaysia juga akan menjadi kerajaan Islam melalui cara yang kita tidak ketahui. Mungkin semua orang mula sedar dan mahukan Islam, maka Islam bakal berjalan dengan sendiri tanpa perlu menang undi. Oleh itu, bergerak kerjalah dan Allah akan menilainya dan memberikan natijah yang baik daripada usaha kita:

اَقِمِ الصَّلٰوةَ لِدُلُوْكِ الشَّمْسِ اِلٰى غَسَقِ الَّيْلِ وَقُرْاٰنَ الْفَجْرِۗ اِنَّ قُرْاٰنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُوْدًا

“Laksanakanlah solat sejak matahari tergelincir sampai gelapnya malam dan (laksanakan pula solat) Subuh. Sungguh, solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”

 (al-Isra’: 78)

Allah menyuruh kita agar menunaikan solat lima waktu. Ketika matahari tegak di atas kepala, orang pada zaman dahulu tidak menggalakkan ahli keluarganya untuk keluar dari rumah sebab jika berlaku kemalangan misalnya, ia akan membawa kepada maut. Waktu Zohor bermula ketika gelincir matahari. Dapat diketahui dengan meletakkan batang kayu secara tegak dan melihat kepada bayang yang muncul. Jika bayang muncul, maka sudah masuk waktu Zohor. Jika bayang muncul lebih lagi, maka sudah masuk waktu Asar. Tanda masuk waktu Maghrib adalah ketika matahari terbenam di kaki langit. Tanda masuk waktu Isyak pula adalah ketika hilangnya kemerahan dari tenggelamnya matahari tersebut. Waktu Subuh pula bermula ketika terbitnya fajar. 

Solat Subuh mempunyai banyak keistimewaan. Antara keistimewaannya adalah waktu Subuh disaksikan oleh malaikat kerana berlaku pertukaran ‘shift’ malaikat pada waktu tersebut. Malaikat yang berjaga malam dapat melihat kita yang bangun solat Subuh, begitu juga dengan malaikat ‘shift pagi’ yang baru datang.

Rasulullah S.A.W selalu berpesan kepada kita agar tidak meninggalkan solat sunat sebelum Subuh. Sebab ia lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Imam Al-Ghazali mengajar kepada kita, antara cara untuk berlindung daripada musuh adalah ketika menunaikan solat sunat sebelum Subuh, pada rakaat pertama selepas membaca Surah al-Fatihah, bacalah Surah al-Insyirah. Pada rakaat kedua pula, bacalah Surah al-Fil [2].

Ibadah wajib disempurnakan dengan ibadah sunat

وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهٖ نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا

“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu: mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”

(al-Isra’: 79)

Allah menyuruh kita agar bangun pada waktu sebahagian malam untuk menunaikan solat sunat Tahajud atau berqiamullail. Antara kelebihan solat Tahajud adalah meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah, mendekatkan diri kita kepada Allah dan urusan kita dipermudahkan. Kita cuba amalkan sekurang-kurangnya seminggu sekali atau sebulan sekali atau setahun sekali. Alang-alang kita terjaga untuk membuang air kecil, ambillah wuduk dan tunaikanlah solat sunat Tahajud dua rakaat, kemudian nak tidur, tidurlah selepas itu.

Nabi dan para Sahabat menjadi wajib ke atas mereka untuk tunaikan solat Tahajud. Mereka melaksanakannya bermula pada jam tiga pagi sehingga ke Subuh. Malah, setiap rakaat mengambil masa yang lama dengan bacaan surah-surah yang panjang. Menurut ulamak, mereka mudah untuk melaksanakannya adalah kerana minat. Sebagai contoh, kita boleh bangun malam untuk menonton bola dan mengingatkan isteri untuk kejutkan kita. Sama juga dengan Tahajud, sekiranya kita boleh laksanakan dan memahami ayat-ayat yang dibaca, sudah pasti tempoh dua atau tiga jam tidak akan terasa lama sama sekali. 

Selama setahun Nabi S.A.W melaksanakan Tahajud, setelah itu diturunkan ayat daripada Surah Muzammil yang menukarkan daripada hukum wajib kepada sunat. Menurut ulamak, inilah keringanan yang diberikan oleh Allah kepada kita. Jika tidak, susah juga kita sebab masih ramai antara kita yang pada pukul dua pagi masih belum tidur. Nak melaksanakan Tahajud, kita mestilah tidur terlebih dahulu. 

Perintah hijrah dengan berkat doa yang diajarkan oleh Allah S.W.T

وَقُلْ رَّبِّ اَدْخِلْنِيْ مُدْخَلَ صِدْقٍ وَّاَخْرِجْنِيْ مُخْرَجَ صِدْقٍ وَّاجْعَلْ لِّيْ مِنْ لَّدُنْكَ سُلْطٰنًا نَّصِيْرًا

“Dan katakanlah (Muhammad), ya Tuhanku, masukkan aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolong(ku).”

 (al-Isra’: 80)

Apabila Nabi Muhammad S.A.W berdepan dengan cabaran yang kuat daripada Musyrikin Makkah, sebahagian orang Islam di Makkah sudah pun keluar menuju ke Habsyah. Sayyidina Abu Bakar R.A kerap berjumpa dengan Baginda untuk meminta izin berhijrah. Baginda memintanya supaya menunggu. Baginda juga ingin berhijrah kerana ibaratnya sudah tidak mempunyai sahabat. Lalu, Allah meminta Nabi agar membaca doa tersebut (ayat ini). Dengan berkat doa tersebut, tibalah perintah agar Nabi berhijrah.  Maka, kita juga boleh mengamalkan doa ini ketika berhadapan dengan kesusahan. 

Sebelum berhijrah, Baginda S.A.W meminta agar Abu Bakar bersedia. Nabi tidak memberitahu masa perjalanan kerana itu adalah strategi. Jika diberitahu, dikhuatiri bahawa rahsia tersebut akan pecah dengan sengaja atau tidak sengaja. Ada perkara yang boleh diceritakan dan ada perkara yang perlu disembunyikan:

وَقُلْ جَاۤءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۖاِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوْقًا

“Dan katakanlah, “Kebenaran telah datang dan yang batil telah lenyap.” Sungguh, yang batil itu pasti lenyap.”

(al-Isra’: 81)

Apabila Allah mengarahkan Rasulullah S.A.W berdoa untuk berhijrah, itulah khabar bahawa Islam akan menang. Apabila Baginda berhijrah, beroleh satu tapak baharu yang bakal dibentuk sebuah negara, di mana Islam akan berkembang. Buktinya adalah Makkah mengalami kejatuhan dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Kerajaan Islam. Semasa zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, Islam semakin berkembang. 

Zaman Sayyidina Umar R.A disebut sebagai zaman ‘Futuhat’ iaitu Pembukaan yang berjaya menjatuhkan kerajaan Rom dan Parsi. Lahirnya Kerajaan Umaiyah, Islam tersebar dengan meluas sehingga ke Afrika. Kerajaan Abbasiyah pula muncul menyebabkan Islam tersebar sehingga ke Utara Afrika merangkumi Maghribi, Tunisia dan Sahara serta tersebar ke Sepanyol pada zaman Tariq bin Ziyad yang merupakan seorang panglima perang di bawah pimpinan panglima besar iaitu Musa bin Nusair. Seorang lagi panglima besar iaitu Uqbah bin Nafi’ yang meninggal di Algeria tetapi masjidnya ada di Kairouan (Al Qayrawan atau Bahasa Arab القيروان), Tunisia. Andalus dan Cordova dikuasai oleh Islam selama 800 tahun manakala Barcelona juga dikuasai oleh Islam selama 300 tahun:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ وَلَا يَزِيْدُ الظّٰلِمِيْنَ اِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (Al-Qur’an itu) hanya akan menambah kerugian.”

(al-Isra’: 82)

Al-Quran yang diturunkan adalah sebagai penawar rohani dan jasmani. Ia memperbetulkan otak kita daripada syirik kepada beriman dan perangai yang jahat kepada baik. Ia juga boleh menyembuhkan penyakit misalnya melalui Surah al-Fatihah. Surah ini pernah digunakan untuk mengubati seseorang yang terkena gigitan haiwan berbisa [3]. Kita juga boleh mengambil upah jika mengubati orang sakit tetapi janganlah pula meletakkan caj yang terlalu mahal.

Ini adalah salah satu ayat Syifa’ berdasarkan kisah Imam Al-Qusyairi. Beliau menangis di hadapan Kaabah kerana anaknya ditimpa sakit yang berat. Pada satu malam, beliau bermimpi dan berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. Baginda menanyakan mengenai ayat-ayat Syifa’ yang terkandung di dalam al-Quran. beliau tersedar dan berfikir mengenai apa yang dimaksudkan oleh Nabi. Beliau kemudiannya memeriksa al-Quran dan menjumpai 6 tempat yang mengandungi ayat tersebut. Dengan izin Allah, alhamdulillah penyakit anaknya kembali sembuh [4]. Oleh itu, beramallah dengan ayat-ayat tersebut disertakan dengan yakin bahawa Allah akan menyembuhkan. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 17 Oktober 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 21/10/2022

Rujukan:

[1] Kisah ini melibatkan seorang yahudi bernama Zaid Bin Sa’nah yang akhirnya memeluk Islam kerana akhlak Baginda. Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jilid 5, m/s 222.

[2] I’anah al-Talibin oleh Al-Bakri al-Dimyathi, jilid 1, m/s 247.

[3] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 4080). 

[4] Kisah ini disebut dalam Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh Imam al-Alusi ketika mentafsirkan ayat ke-82 daripada Surah Al-Isra’.

- Advertisement -