PRU15: Mengundi 19 Nov, penamaan calon 5 Nov

Tan Sri Abdul Ghani Salleh
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

PUTRAJAYA: 19 November ditetapkan sebagai tarikh hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRU15, di sini, hari ini.

Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal yang ke-14 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu.

SPR juga, katanya telah menerima surat pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri/Dewan Negeri (DUN) Yang Ke-14 bagi tiga (3) negeri iaitu Pahang dan Perlis bertarikh 14 Oktober 2022 (Jumaat), serta Perak bertarikh 17 Oktober 2022 (Isnin) daripada Speaker DUN masing-masing.

Seterusnya, ujar beliau pemakluman rasmi juga telah diterima daripada Speaker DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No.3), dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan, mengenai kekosongan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N.66 Bugaya, Sabah pada 12 Oktober 2022 (Rabu).

Sehubungan itu, jelasnya SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRU15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.

Pada masa yang sama, katanya PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Beliau berkata, bagi menjalankan proses PRU15 dan PRK DUN N.66, Sabah, SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 orang Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/10/2022

- Advertisement -