AKU tak tahu kenapa Hari Lahir Ayah Chik pada kali ini, bercampur baur perasaan yang ada. Rasa syukur, rasa sayu, rasa sebak, rasa sedih pun ada.
Tambahan pula duk teringat minggu lepas dua kali Ayah Chik mengalirkan air mata ketika menadahkan tangan berdoa menyerahkan urusan kepada Tuhan.
Satu ketika lepas Mesyuarat AJK PAS Pusat. Satu lagi ketika Kuliah Dhuha di dataran kelulut yang dihadiri ribuan orang.
Berat bagi kami melihat Ayah Chik sebak dan menangis. Kerana kami tahu betapa berat dan besarnya bebanan yang telah Ayah Chik tahan selama ini.
Aliran air mata itu mungkin satu lepasan hela lelah Ayah Chik yang sudah bertahun-tahun bertahan dan terus bertahan untuk menyelamatkan Penyatuan Ummah.
Mungkin Ayah Chik juga sebenarnya kecewa dengan sikap pemimpin Melayu-Islam. Saling ego dan tamak.
Pun begitu, Ayah Chik telah menunjukkan tauladan yang sangat mengesan. Sebelum wisel penamat berbunyi, Ayah Chik telah ikhtiar ke saat yang terakhir.
Gambar yang dibocorkan oleh Asyraf Wajdi yang pada asalnya mahu menjatuhkan Ayah Chik, tiba-tiba arah itu bertukar membidas muka Asyraf.
Gambar tersebut telah mengangkat dan membuktikan lagi bahawa Ayah Chik terus tekad berusaha untuk usahakan penyatuan. Tegarnya Ayah Chik.
Pun begitu kami agak lega, kerana Ayah Chik sudah tidak perlu pening kepala dan memendam rasa melayani feel perangai hodoh pemimpin parti politik tersebut.
Ayah Chik boleh sambut Hari Lahir dengan lebih ceria dan insya-Allah, kita anak muda kena tekad untuk berikan kemenangan kepada PAS dan PN dalam PRU kali ini sebagai hadiah Hari Lahir kepada Ayah Chik.
Selamat Hari Lahir Ayah Chik, moga terus kuat memimpin ummah. Insya-Allah.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/10/2022