Kepimpinan ulama rintis kejayaan anak muda di Kelantan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Kejayaan anak muda Kelantan dalam pelbagai bidang sekarang merupakan hasil acuan yang dirintis kepimpinan ulama mentadbir negeri itu sejak akhir 1990.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha untuk membangun belia dengan acuan Islam bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, pengaruh sosial di sekeliling menjadi cabaran untuk melahirkan anak muda yang berjaya dalam bidang pendidikan dan mempunyai akhlak tinggi.

“Acuan itu bermula dengan kesungguhan kerajaan negeri membangunkan bidang pendidikan agama melibatkan peruntukan tidak sedikit setiap tahun.

“Hari ini sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang akademik, hafazan dan kegiatan ko-kurikulum,” katanya merasmikan Karnival Nasyid di perkarangan SMU (A) Bustanus Saadah, Morak baru-baru ini.

Turut hadir Adun Wakaf Bharu, Rosli Abdullah dan Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan. Program berkenaan diadakan sempena Cakna Rakyat Dun Pasir Pekan.

Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta setiap tahun bagi mengurus sekolah agama di seluruh Kelantan.

Menurutnya biarpun melibatkan kos begitu tinggi, namun berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlangm di mana sekarang mereka berkhidmat di pelbagai sektor awam dan swasta.

Sementara itu Maahad Muhammadi Tumpat muncul johan karnival nasyid Parlimen Tumpat dan tempat kedua disandang SMU (A) Bustanus Saadah.

Sebanyak enam sekolah agama YIK menyertai pertandingan berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -