Mesej mesti sampai, bukan sekadar bercakap kosong

- Advertisement -

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِى ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”


(At-Taubah: 38)

- Advertisement -

إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـًٔاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ قَدِيرٌ 

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”


(At-Taubah: 39)

Perjuangan menegakkan Islam tidak dibentangkan dengan karpet merah. Dari musuh yang telah ditakdirkan oleh Allah yang berbondong-bondong menyerang Islam, sehinggalah perjuangannya tidak dibalas dengan balasan dunia menyebabkan perjuangannya jauh lebih sukar dari mana-mana perjuangan lain di atas muka dunia. Perkara ini telah menyebabkan tidak ramai yang sanggup memikul beban perjuangan ini. 

Namun demikian, inilah lapangan ujian hamba. Sanggup atau tidak taat kepada perintah Allah yang memerintahkan gerak kerja perjuangan perlu terus dilaksanakan walau dalam apa jua keadaan. Selagi mana seseorang mengharapkan balasan dunia atas pengorbanannya, dia tidak akan mampu kekal dalam perjuangan yang serba sukar ini. Tetapi jika jiwanya hanya mengharapkan redha Allah, dia pula takkan mampu meninggalkan perjuangan ini. “There is no turning back”. Itulah istimewanya perjuangan yang diikat dengan akidah. 

Lemah jiwa adalah perkara yang sering berlaku kepada pejuang Islam. Jadi dalam tulisan ini, saya menyeru semua Abnaul Harakah untuk terus bergerak di lapangan masing-masing tanpa peduli kesusahan yang sedang kita lalui hari ini. Allah cuma ingin melihat adakah kita sanggup mengorbankan hidup kita untuk mengutamakan perjuangan Islam ini. 

Bila kita terus bergerak, bererti kita telah menang kerana berjaya menuruti arahan Allah. Sama ada kemenangan membentuk kerajaan jadi kenyataan atau tidak, tidak menjadi kayu ukur kejayaan hakiki. Bila kita terus berusaha, ertinya kita telah berjaya. 

Jika ditakdirkan Islam menang pada zaman kita, sebenarnya itu satu lagi fasa ujian bagi kita. Allah ingin melihat bagaimana kita membawa Islam dalam keadaan kita mempunyai kuasa. Jadi, berjaya ke Putrajaya atau tidak bukanlah isunya. Isunya, adakah kita kekal bekerja atau tidak kerana itulah yang dinilai oleh Allah. 

Oleh itu, bekerjalah Abnaul Harakah di mana saja posisi kita. Menyampaikan mesej kesempurnaan Islam kepada semua.

AIREROSHAIRI ROSLAN
Ketua Pemuda PAS Pahang – HARAKAHDAILY 18/10/2022