Gendang PRU15 sudah dipalu

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Tanda tanya sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun ini atau tahun depan sudah berlalu. Jawapannya tahun ini atau lebih tepat, November ini.

Sebaik sudah pasti jawapannya, kebanyakan parti politik yang sebelum ini berada pada kedudukan berjaga-jaga, mula memanaskan enjin jentera parti masing-masing sebelum memecut apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kempen pilihan raya sudah boleh dimulakan.

- Advertisement -

Setakat 5 Oktober lalu, terdapat 69 parti atau gabungan politik berdaftar di negara ini, iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Gerakan Tanah Air (GTA) pula masih dalam proses pendaftaran.

Parti atau gabungan parti akan bertanding untuk memenangi sebanyak 222 kerusi Parlimen, manakala jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza-beza mengikut saiz keluasan negeri.

Sebelum dibubarkan, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen dengan DAP seramai 42 orang; Umno (38); PKR (36); Bersatu (31); PAS (17); PBB (13); Amanah (11); Warisan (7); Pejuang dan Bebas (masing-masing 4); PBM (3); MCA, PRS dan PDP (masing-masing 2) manakala MIC, SUPP, PBRS, PBS, STAR, UPKO, PSB dan Muda (masing-masing 1).

Dua kawasan Parlimen, Batu Sapi dan Gerik kosong selepas penyandang meninggal dunia, namun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak diadakan berikutan pengisytiharan enam ordinan dan proklamasi darurat berikutan wabak Covid-19 bagi menangguhkan PRK kedua-dua Parlimen itu dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020.

Kedudukan parti politik ketika Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, berbeza berbanding selepas keputusan PRU14 pada 10 Mei 2018 yang menyaksikan kerajaan BN tumbang.

PH yang ketika itu dianggotai oleh PKR (menang 48 kerusi), DAP (42), Bersatu (12) dan Amanah (11), membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas memenangi 113 kerusi. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi, manakala untuk mendapat majoriti dua pertiga memerlukan 148 kerusi.

BN pula memenangi 79 kerusi, diikuti PAS (18), Warisan (8), Bebas (3) dan Sabah STAR (1).

Namun sejak itu, politik Malaysia bergolak hingga buat kali pertama dalam sejarah, negara mempunyai tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen, bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohammad (22 bulan), Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan) dan Ismail Sabri (14 bulan).

PRU14 sudah berlalu dan kini tiba giliran PRU15 yang menampilkan beberapa perubahan yang dijangka memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Berdasarkan pemilih berdaftar yang diwartakan SPR mengikut Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, negara kini memiliki seramai 21,113,234 orang pengundi.

Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang (5.4 peratus) adalah pemilih berumur antara 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang(94.6 peratus) ialah ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.

Pertambahan drastik pemilih seramai 5.8 juta orang dengan 1.2 juta orang adalah golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun adalah berikutan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021.

Ini menyebabkan PRU15 sangat berbeza kerana kehadiran pengundi muda akan menimbulkan persoalan, iaitu parti atau gabungan parti manakah yang menjadi pilihan mereka. Pada masa sama, parti politik mempertingkatkan usaha untuk menarik mereka dengan antara strategi digunakan ialah menampilkan golongan muda sebagai calon masing-masing.

Berbanding PRU sebelum ini yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dibubarkan bersama Parlimen kecuali Sarawak yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, kali ini enam negeri tidak membubarkan DUN masing-masing.

Negeri berkenaan ialah tiga negeri di bawah pentadbiran kerajaan PAS, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah PH, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Empat negeri lain telah selesai mengadakan PRN, iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ini bermakna hanya Perlis, Perak dan Pahang yang dikuasai BN, membubarkan DUN dan mengadakan PRN serentak dengan Parlimen.

Faktor enam negeri tidak membubarkan DUN adalah berikutan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didesak oleh Umno untuk membubarkan Parlimen tanpa menghiraukan risiko banjir yang boleh berlaku akibat faktor musim peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pada pertengahan November.

Pembubaran Parlimen juga dilihat strategi Umno yang mungkin sangat yakin dan mengharapkan momentum kemenangan ketika bergerak secara solo dalam PRN Melaka pada November tahun lalu dan PRN Johor, Mac lalu akan berterusan dalam PRU15.

Namun ada juga tanggapan bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya, mahukan PRU15 disegerakan kerana mahu parti itu kembali berkuasa dengan cepat berikutan kes mahkamah yang beliau hadapi sekarang.

Zahid menafikan dakwaan itu, tetapi itulah persepsi sebilangan rakyat berikutan tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pertengahan tahun depan

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyatakan bahawa rakyat marah dengan pembubaran Parlimen ketika ini dan PAS tidak mahu terheret bersama dengan kemarahan rakyat jika membubarkan DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan kita tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir.

“Jika kita bubarkan juga, nanti bercanggah dengan apa yang kita pernah sebut. Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/22

- Advertisement -