Calon PN di DUN Perlis 9 PAS, 6 Bersatu

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS akan bertanding sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen, manakala Bersatu pula meletak calon di enam DUN dan satu Parlimen.

- Advertisement -

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pembahagian kerusi membabitkan dua parti komponen dalam PN di negeri itu telah dimuktamadkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PAS akan meletak calon di Parlimen Arau dan Padang Besar, manakala Bersatu di Parlimen Kangar.

“Kerusi DUN pula membabitkan Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong selain mengekalkan DUN Guar Sanji dan Sanglang,” katanya.

Ujar beliau Bersatu pula akan bertanding di Parlimen Kangar serta enam kerusi iaitu DUN Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Indera Kayangan, Pauh dan Tambun Tulang.

“Calon-calon PAS yang akan bertanding sudah dimuktamadkan terdiri daripada muka baharu dan dalam kalangan profesional. Senarai calon PN akan diumumkan dalam masa terdekat,

“PAS komited mempertahankan kerusi DUN Guar Sanji dan Sanglang selain menyasarkan kemenangan di beberapa kerusi lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah pula berkata, pihaknya sudah menyerah senarai calon Bersatu kepada pimpinan pusat sebelum ini untuk diputuskan.

“Sebanyak 90 peratus calon yang bakal diketengahkan Bersatu terdiri daripada muka baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -