Bersatu Perlis sokong guna logo PN

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Bersatu Perlis menyifatkan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai menggambarkan kesatuan antara parti komponen.

Pengerusinya Abu Bakar Hamzah berkata, penggunaan logo PN diakui cantik dan sangat wajar digunakan dalam situasi sekarang.

Katanya ia juga memperlihatkan kesatuan antara PAS dan Bersatu bersama parti komponen PN.

“Insya-Allah ahli Bersatu menerima baik untuk menggunakan logo PN. Kami tidak bermasalah menggunakan logo tersebut pada PRU15 tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan logo PAS kekal digunakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala negeri-negeri lain menggunakan logo PN.

Abu Bakar juga berkata, Bersatu Perlis telah memulakan kempen ke akar umbi bagi memperkenalkan logo tersebut.

“Nanti di bilik mengundi kertas mengundi tidak menunjukkan sebarang warna, semuanya hitam putih jadi pengundi boleh baca tulisan PERIKATAN NASIONAL dengan baik.

“Memandangan rakyat Malaysia pun 90 peratus semuanya boleh membaca, jadi tidak ada masalah mengenai penggunaan logo PN,” katanya.

Menurutnya juga PN negeri kini memberi tumpuan gerak kerja menarik pengundi serta memperkenalkan PN dengan lebih meluas melalui jawatankuasa bersama yang diwujudkan.

PAS sebelum ini menguasai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sanglang dan Guar Sanji. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -