Mengapa PAS tidak bubar DUN tiga negeri?

- Advertisement -

PRESIDEN PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengumumkan keputusan muktamad PAS untuk konsisten tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga buah negeri yang dikuasai iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah. PAS maklum tindakan itu akan menyebabkan rakyat di tiga negeri itu keluar mengundi dua kali, iaitu sekitar November tahun ini serta Mei tahun hadapan. Wartawan Harakahdaily SYAHIRAH SALLEH berkesempatan menemubual Timbalan Presiden PAS, DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN berhubung keputusan berkenaan.

- Advertisement -

Harakahdaily: Mungkin Dato’ Sri boleh jelaskan mengapa PAS mengambil keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu? Bukankah dua pilihan raya akan memakan belanja lebih?

Tuan Ibrahim: Isu kita di sini ialah rakyat marah dengan pembubaran Parlimen sekarang dan kita tak mahu kita terheret sama dengan kemarahan rakyat jika kita bubarkan DUN. Kita juga perlu konsisten, malah kita sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan kita tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir.

Justeru, jika kita bubarkan juga, nanti bercanggah dengan apa yang kita pernah sebut. Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini.

Soal kos dan sebagainya, kita akui. Tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku. Kemudian sekolah akan menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini kita sangat ketara.

Bagi kita, soal pembubaran DUN kita hendak biar tenang, habis musim banjir, kita hadapi pilihan raya dengan keadaan tenang dan negeri-negeri kita pun setuju dengan keputusan itu. Kenapa kita tidak bubar? Sebab kita tak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat sekarang.

Kita yakin, kita ada lebih lapan bulan lagi masa (sehingga Mei 2023), dalam tempoh lapan bulan banyak benda kita boleh buat, dan kita tak perlu tergesa-gesa.

Adakah PAS mempertimbangkan keputusan ini akan menyebabkan rakyat Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu keluar mengundi sekali lagi pada Mei tahun hadapan?

Ya, kita akui bahawa rakyat terpaksa mengundi dua kali, bukan sahaja dua kali. Melaka tarikh lain, Johor tarikh lain, Sabah tarikh lain, dan Sarawak juga tarikh lain. Kemudian apabila dibuat begini, yang jelasnya tiga lagi negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pun tidak bubar, dan tiga negeri PAS pun tidak bubar, jadi majoriti.

Kita masih belum menerima keputusan mengenai keputusan Pahang, Perlis dan Perak sama ada bubar atau tidak. Sebab saya dengar cerita mereka juga ada keberatan untuk bubar.

Soal kos yang terpaksa ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), bagi PAS faktor bebanan kos itu tidak terletak atas kerana kita akan ikut dia, kerana sepatutnya dia ikut.

Saya lebih suka untuk lebih tenang. Contohnya, tarikh pilihan raya akan datang ini terus ditetapkan tarikhnya setelah lima tahun, habis penggal baru buat pilihan raya. Supaya kita tidaklah bentang bajet, kemudian selesai bahas,  undi semula, selepas itu batal, kemudian perlu bentang semula.

Jadi itu menjadikan kita lebih suka jika (tarikh pilihan raya) ditetapkan terus tarikh, dengan penetapan tarikh pilihan raya ini, pelabur pun tidak bimbang. Kalau tergantung dan tidak menentu begini, akhirnya tiada kesudahan dan sia-sia.

Contohnya, kementerian saya membentang Rang Undang-Undang (RUU) dalam Parlimen, tetapi kini Parlimen sudah bubar. Terpaksa bentang sekali lagi, Bajet 2023 juga terpaksa bentang sekali lagi. Jadi, oleh itu kita tegaskan bahawa kita perlukan satu tarikh tetap (untuk pilihan raya).

Adakah PAS membuat keputusan muktamad untuk bersama Perikatan Nasional dan meninggalkan Muafakat Nasional?

Oleh kerana kita berdaftar sebagai Perikatan Nasional, jadi kita akan bersama dengan Perikatan Nasional. Malah, kita sudah menggerakkan kekuatan jentera Perikatan Nasional peringkat negeri-negeri, dan kita harus teruskan.

Oleh kerana mereka (Umno) tidak hendak bersama (Perikatan Nasional) dan mereka (Umno) sudah buat keputusan untuk bergerak solo, jadi kita…Sebab Umno sudah buat keputusan untuk solo banyak kali sudah, mereka hendak solo. Oleh kerana mereka buat keputusan hendak solo, jadi takkan kita hendak bersama dia?

Jadi tiada lagi perbincangan untuk bersama dengan Muafakat Nasional?

Gagasan penyatuan ummah itu diteruskan, kita tengok nanti bagaimana.

Masih akan ada lagi perbincangan bersama Muafakat Nasional selepas ini?

Penyatuan ummah masih berjalan, penyatuan ummah ini bukan faktor pilihan raya sahaja, pilihan raya ini kita dengan Perikatan Nasional.

Adakah pilihan raya ini akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional?

Penggunaan logo kita sudah putuskan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah kita akan gunakan logo PAS. Namun, negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo Perikatan Nasional, sudah dimuktamadkan dan akan bawa ke Majlis Pimpinan Perikatan Nasional.

Adakah PAS sudah menerima calon daripada peringkat kawasan atau negeri setakat ini?

Berkenaan calon, kita sudah minta negeri menghantar calon segera. Sebab kita akan angkat senarai calon kepada Majlis Syura (Ulamak) dan Majlis Syura yang akan putuskan.

Mereka akan hantar sekurang-kurangnya tiga nama dan Majlis Syura akan teliti kelayakan calon kemudian membuat keputusan dan diserahkan semula kepada parti untuk parti pilihan, di antara tiga ini mana satu yang akan jadi calon. – HARAKAHDAILY 13/10/2022

- Advertisement -