Pantau projek jadi punca banjir kilat

- Advertisement -

Oleh AHMAD LI

BEAUFORT
: Pihak yang berwajib khususnya agensi kerajaan yang berkaitan digesa memantau projek yang menyebabkan berlaku banjir kilat.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Sabah, Asrul Samat, kontraktor serta mana-mana pihak yang terlibat dalam kerja-kerja projek yang menyebabkan kerosakan jalan dan parit tersumbat perlu dikenakan tindakan.

“Mereka perlu menyelia dan mengambil tindakan susulan, seperti membaiki kerosakan jalan serta menyediakan sistem saliran air yang efektif bagi mengelak takungan air di kawasan jalan raya.

“Mereka juga perlu membersih dan melancarkan sistem perparitan di kawasan kediaman penduduk serta memastikan pemantauan dan tindakan susulan secara berterusan dapat dilaksanakan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, hujan lebat yang berterusan serta kerja-kerja pembangunan menjadi salah satu faktor kepada peningkatan jumlah lokasi dan mangsa yang terlibat dengan banjir di daerah Penampang, Putatan, Papar dan Beaufort.

Menurutnya lagi, kerosakan jalan raya yang semakin teruk terutamanya kawasan yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan jalan raya PAN Borneo seperti Kimanis, Bongawan, Membakut, Beaufort dan Sipitang, kerana berlaku takungan air dan mendapan tanah.

“Kita mengetahui bahawa, berdasarkan ramalan cuaca terkini yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorlogi Malaysia (METMalaysia), hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora akan berlaku bermula 10 Oktober sehingga 14 Oktober 2022.

“Beberapa kawasan di Pantai Barat dan pedalaman Sabah seperti Kota Kinabalu, Putatan, Beaufort, Kuala Penyu serta kawasan sekitar yang berhampiran terkesan dengan perubahan monsun ini,” ujarnya.

Oleh itu, tambahnya fenomena itu secara tidak langsung memberikan impak terhadap masyarakat di kawasan yang terlibat, seperti berlakunya banjir kilat serta kerosakan jalan raya.

Ini, ujar beliau, akan mengakibatkan kesan sampingan yang lain, antaranya ialah kerosakan harta benda, kediaman, kenderaan serta kemalangan jalan raya.

Selain itu, Asrul turut menggesa agar mana-mana projek pembinaan dan naik taraf jalan raya yang sedang berjalan dapat dilaksanakan mengikut SOP dan tempoh yang telah ditetapkan.

Ini, katanya bagi mengelakkan lebih banyak impak seperti yang telah dinyatakan daripada terus berlaku. – HARAKAHDAILY 12/10/2022

- Advertisement -