Pelancaran PN Pahang mampu capai hasrat terajui negeri

- Advertisement -

Oleh HABSAH ALI

TEMERLOH:
Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang, malam tadi telah menaikkan semangat para hadirin yang bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Kehadiran orang ramai yang sangat menggalakkan, memenuhi dalam dan luar dewan yang terdiri daripada anak-anak muda dan wanita pelbagai kaum Melayu, India dan Cina.

Pengarah program, Andansura Rabu berkata, selain daripada pelancaran PN negeri, ia juga sebagai simbolik kepada perhimpunan jentera PN menghadapi PRU15.

“Kehadiran seluruh jentera Perikatan Nasional Negeri Pahang menunjukkan jalinan mantap antara semua parti komponen.

“Dan sehingga kini jalinannya berjalan dengan baik terutamanya dalam isu pembahagian kerusi dan sebagainya,” ujarnya yang juga AJK PN negeri.

Sementara itu, Ketua Penerangan PN negeri, Mohd Tarmizi Yahya pula berkata, tarikh untuk majlis pelancaran itu telah lama ditetapkan dan bertepatan dengan pengumumuan pembubaran Parlimen.

Maka, ujarnya ia sekali gus memberi kesan yang baik kepada PN Pahang.

“Harapan kita dengan pelancaran PN ini kita akan bergerak seiring seperti mana yang dinyatakan pimpinan, kita bergerak sebagai satu pasukan untuk mempastikan kita mampu mencapai hasrat kita teraju Pahang,” ujarnya yang juga ADUN Pancing.

Program itu diisi dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Pahang, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah.

Program berakhir dengan penyampaian watikah pelantikan Ketua Badan Perhubungan PN kawasan-kawasan. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -