Kerajaan sementara kini memerintah Malaysia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

- Advertisement -

Segala tanda tanya berhubung pembubaran Parlimen berakhir dengan pengumuman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Pembubaran itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dan serentak dengan itu, negara kini diperintah oleh kerajaan sementara dengan kuasa Perdana Menteri tidak lagi sama seperti sebelum pembubaran dibuat.

Namun, apakah yang kita fahami dengan kerajaan sementara?

Dalam buku `Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya’ yang Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof sebagai Editor menyatakan bahawa kerajaan sementara adalah kerajaan yang memerintah sesebuah negara dalam tempoh pilihan raya, iaitu biasanya bermula dari pembubaran Parlimen hingga kepada penubuhan kerajaan baru.

Dalam konteks yang lebih luas, katanya istilah kerajaan sementara juga digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika berlaku rampasan kuasa dan sebagainya.

Tujuan kerajaan sementara

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia UTM) itu berkata, kerajaan sementara adalah untuk mengurangkan risiko salah guna kuasa akibat ketiadaan Parlimen yang mampu melakukan peranan ‘semak dan imbang’.

Selain itu, katanya ia berperanan untuk memastikan pemimpin kerajaan tidak menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen kepartian serta mengekalkan badan pentadbiran kerajaan sebagai badan yang bebas dari campur tangan politik.

“Menurut amalan tradisi (konvensyen) di negara-negara Komanwel yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, terdapat beberapa perkara yang mesti dielakkan oleh pemerintah dalam tempoh kerajaan sementara.

“Amalan tradisi ini diungkap secara bertulis dalam Garis Panduan Konvensyen Kerajaan Sementara (Guidance on Caretaker Conventions) yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia. Garis panduan berkenaan menggariskan tiga perkara besar yang perlu dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan ialah:

  1. Membuat dasar kerajaan yang boleh mengikat kerajaan yang akan ditubuhkan selepas pilihan raya.
  2. Membuat pelantikan ke jawatan penting.
  3. Membuat kontrak dan aku janji yang besar.

Selain itu, katanya garis panduan itu juga menyenaraikan perkara-perkara yang berbentuk kempen, yang boleh menjejaskan sifat adil dan berkecuali bagi sesebuah kerajaan demokratik, iaitu:

  1. Pengiklanan dan kempen penerangan: Kempen yang menonjolkan peranan Perdana Menteri atau mana-mana menteri, serta iklan atau kempen penerangan yang berkaitan slogan kepartian perlu dihentikan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
  2. Internet dan komunikasi elektronik: Media Internet milik kerajaan hanya menyiarkan maklumat pentadbiran bukannya untuk menyokong mana-mana parti.
  3. Penggunaan premis kerajaan: Parti kerajaan dan parti pembangkang diberikan ruang sama rata untuk menggunakan premis kerajaan bagi tujuan kempen, mengadakan sidang media dan seumpamanya. Lawatan menteri ke pejabat-pejabat agensi kerajaan hanya terhad untuk urusan rutin pentadbiran, bukan untuk tujuan politik.
  4. Penglibatan politik: Anggota perkhidmatan awam tidak boleh menggunakan sumber milik kerajaan atau kedudukannya untuk menyokong isu tertentu atau parti tertentu sewaktu kempen pilihan raya.
  5. Permintaan maklumat dari pejabat menteri: Pegawai kerajaan perlu mengelakkan dari memberikan maklumat yang hendak digunakan untuk kempen pilihan raya.

Dr Muhammad Fathi berkata, garis panduan itu merupakan rujukan yang baik untuk memahami amalan Konvensyen Perlembagaan (Constitutional Coventions) kerajaan sementara yang sepatutnya turut diguna pakai dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Katanya, pelaksanaan kerajaan sementara boleh dilakukan hanya dengan menguatkuasakan garis panduan, tanpa melibatkan pindaan kepada Perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya di Bangladesh, amalan kerajaan sementara dilaksanakan menggunakan asas yang lebih kuat iaitu dengan peruntukan Perlembagaan.

“Amalan kerajaan sementara di Bangladesh bermula seawal tahun 1990 dan diperkukuh dengan pindaan Perlembagaan bagi memasukkan peruntukan berkaitan pada 1996,” katanya.

Amalan kerajaan sementara di Malaysia

Walaupun tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan, katanya sebagai pengamal sistem demokrasi berparlimen, Malaysia sepatutnya turut mengamalkan konsep kerajaan sementara.

Katanya, amalan ini berkuatkuasa melalui Konvensyen Perlembagaan, iaitu amalan tradisi politik yang merupakan antara bentuk rujukan Perlembagaan negara.

Bagaimanapun, katanya dari sudut amalan, konsep ini belum benar-benar terlaksana di Malaysia.

“Prinsip kerajaan sementara hanya akan berlaku jika wujud keinginan politik yang kuat oleh kerajaan yang memerintah.

“Perdana Menteri pertama, Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri secara sukarela sewaktu tempoh kempen PRU Pertama 1959 antara dari 21 April hingga 7 Ogos 1959 untuk menumpukan kerja-kerja kempen pilihan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/22

- Advertisement -