PRU musim tengkujuh beri kesan peratus keluar mengundi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Desakan berterusan pemimpin utama Umno supaya Parlimen dibubar segera menyebabkan Perdana Menteri tiada pilihan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan itu hasil desakan dan tekanan pemimpin Umno menyebabkan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memohon membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu tidak boleh pertikai kerana ia hak Perdana Menteri.

“Sedangkan sebelum ini pelbagai pandangan diberi kurang sesuai diadakan pilihan raya umum (PRU) akhir tahun kerana desakan ekonomi dan musim tengkujuh.

“Bagi saya pilihan raya pada musim banjir menyusahkan rakyat, kalau kita bubar Dun pun bukan tahun ini kerana kita ada masa lagi paling cepat Mac hadapan,” katanya ketika ditemui di sini.

Petang tadi perdana menteri mengumumkan membubarkan parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pada kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa kecewa perkembangan politik negara dan tiada pilihan selain memperkenan permintaan Parlimen dibubar.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PRU15 dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari bakal memberi kesan kepada rakyat yang keluar mengundi dalam suasana banjir.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan PAS Kelantan sudah lama melakukan persiapan menghadapi pilihan raya.

“Jentera pilihan raya di semua peringkat sudah bersedia untuk menghadapi PRU15 biarpun belum mencapai tahap 100 peratus.

“Persiapan macam biasa kita sejak dahulu lagi selepas habis kempen PRU14 dan masuk bulan kedua kita mula bekerja menghadapi pilihan raya akan datang, kita ada cara kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2022

- Advertisement -