‘Kita buat cadangan tiada muslihat’

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS tetap pendirian mahu ketiga-tiga parti teras Melayu/Islam bersatu di bawah penyatuan ummah biarpun Parlimen dibubar hari ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, rundingan bersama Umno tetap diteruskan sehingga saat akhir.

Katanya, agenda tersebut tidak mempunyai sebarang kepentingan bukan sahaja kepada PAS, Bersatu atau Umno kerana ia berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

“Pendirian kita jelas mahu ketiga-tiga parti terbabit bersatu tetapi Umno membuat kenyataan menolak, dan menganggap cadangan kita sebagai mempunyai muslihat.

“Sebenarnya kita buat cadangan untuk kepentingan Melayu dan Islam sebab kita melihat keperluan politik bukan untuk kita, Bersatu atau Umno, tiada muslihat kecuali untuk kepentingan agama.

“Bila Umno tidak boleh terima, akan jadi seperti Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor. Usaha itu dilakukan sehingga hari akhir kempen, kita berbincang dengan Umno sehingga last minit,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, jika Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap tawaran itu sebagai muslihat, maka desakan pimpinan tertinggi Umno mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga dilihat ada muslihat.

Oleh itu beliau berharap rundingan penyatuan politik Melayu dapat diteruskan walaupun segelintir pimpinan Umno menolak.

“Kita pun boleh tuduh Umno menekan Perdana Menteri untuk bubar Parlimen kerana muslihat bagi kepentingan individu.. kita pun boleh kata macam itu kalau kita nak.

“Kalau kita fikir apa perlu pilihan raya sekarang, kerajaan masih stabil, rakyat sokong kerajaan yang ada, tidak perlu tergesa-gesa mengadakannya, masa sehingga Mei tahun depan,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau kerana ada tekanan kerana muslihat tertentu di sebalik pembubaran Parlimen yang diumum hari ini. – HARAKAHDAILY 10/10/2022

- Advertisement -