Manchester City kini di puncak Liga Perdana

Erling Haaland terus konsisten menjaringkan gol untuk Manchester City
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Manchester City meneruskan aksi cemerlang di gelanggang sendiri menewaskan Southampton 4-0. Chelsea dan Newcastle United pula mencatat kemenangan selesa dan Tottenham Hotspur kembali bangkit selepas minggu sukar untuk menang di Brighton & Hove Albion.

Selepas membelasah Manchester United 6-3 minggu lalu, City tidak berdepan masalah untuk menang selesa ke atas Southampton melalui jaringan Joao Cancelo, Phil Foden dan Riyad Mahrez, manakala Erling Haaland melebarkan jaringannya kepada 10 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

- Advertisement -

City menang dengan menjaringkan 24 gol dalam semua lima perlawanan Liga Perdana di Stadium Etihad, manakala Southampton berada di tempat ke-16 dengan tujuh mata dan jurulatih, Ralph Hasenhuettl, berdepan kemungkinan bakal disingkirkan.

“Ia bukan keputusan saya. Selagi saya di sini, kami akan tetap berjuang,” kata jurulatih berasal dari Austria itu.

Kemenangan itu membawa City ke puncak Liga Perdana dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan dan meningkatkan tekanan terhadap Arsenal, yang menerima kunjungan Liverpool pada hari ini dengan peluang untuk merampas semula status pendahulu.

Tottenham melonjak ke tempat ketiga dengan 20 mata selepas tandukan Harry Kane memastikan kemenangan 1-0 di Brighton & Hove Albion.

Dalam tempoh seminggu lalu, kelab London itu dibelasah 3-1 oleh seteru Arsenal, seri 0-0 di Eintracht Frankfurt dalam Liga Juara-Juara dan jurulatih kecergasan kelab, Gian Piero Ventrone meninggal dunia.

Pemain Spurs memakai baju T sebelum perlawanan dengan tulisan ‘Sentiasa di hati kami, Gian Piero’ sebagai penghormatan kepada Ventrone yang meninggal dunia pada Khamis lalu pada usia 61 tahun selepas disahkan menghidap leukemia.

“Ia adalah minggu yang sukar untuk diperkatakan. Kami sangat gembira meraih kemenangan hari ini. Ia adalah gol yang buruk, tetapi saya benar-benar berbangga dengan kemenangan ini,” kata Kane.

Jaringan Harry Kane menggembirakan penyokong Tottenham Hostpur

Chelsea terus menunjukkan tanda-tanda peningkatan di bawah jurulatih, Graham Potter ketika menewaskan Wolves 3-0 di tempat sendiri, yang tidak mempunyai pengurus selepas Bruno Lage dipecat, minggu lalu.

Bekas penyerang Chelsea, Diego Costa membuat penampilan pertamanya untuk pasukan pelawat, tetapi pasukan Potter lebih dominan dengan jaringan Kai Havertz, Christian Pulisic dan Armando Broja, membolehkan mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan selepas menumpaskan Crystal Palace dan AC Milan.

“Kemenangan ini mengujakan. Ia adalah minggu yang sangat mantap,” kata Potter yang pasukannya naik ke tangga keempat dengan 16 mata. “Ia adalah persembahan yang hebat, terutama pada separuh masa pertama. Kami terpaksa bertahan sedikit pada separuh masa kedua, tetapi secara keseluruhan kami berhak menang.”

Newcastle naik ke tangga kelima dengan kemenangan 5-1 di tempat sendiri ke atas Brentford, setahun dan sehari selepas kelab itu diambil alih entiti yang disokong Arab Saudi.

Bruno Guimaraes yang bernilai 40 juta Pound dari Olympique Lyonnais dan antara pemain termahal kelab itu sejak pengambilalihan itu, menjaringkan gol pada setiap separuh masa pada petang yang tidak dapat dilupakan kelab itu.

Musim lalu, Newcastle yang berada di zon penyingkiran mendapat suntikan baharu apabila Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengambil alih kelab itu daripada pemilik sebelumnya, Mike Ashley dengan harga yang dilaporkan 300 juta Pound.

Bournemouth pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leicester City 2-1, menjaringkan dua gol dalam masa lima minit separuh masa kedua dan menyebabkan kekalahan kelima berturut-turut di tempat lawan kepada pasukan Brendan Rodgers.

Keputusan itu memberi tekanan baharu kepada jurulatih Leicester, Rodgers, yang pasukannya berada di tangga ke-19 liga dengan hanya empat mata.

“Saya tahu jika anda berada dalam kelompok tiga terbawah, akan sentiasa ada tekanan,” kata Rodgers.

- Advertisement -