Belanjawan 2023: RM1.5 bilion untuk hal ehwal Islam

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Kerajaan telah selesai membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. Sekalung tahniah diucapkan kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pasukan Kementerian Kewangan atas usaha keras dalam merealisasikan pembentangan belanjawan ini. 

- Advertisement -

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2023 ini adalah belanjawan yang amat signifikan dan mencakupi seluruh aspek kebajikan rakyat. Berbagai bantuan diumumkan bagi membantu menjana sosioekonomi rakyat, antaranya inisiatif-inisiatif serta peningkatan jumlah bantuan untuk penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2023, pelaksanaan subsidi dan bantuan bersasar, serta bantuan awal persekolahan. 

Malah, belanjawan yang dibentangkan turut mengambil kira aspek kekeluargaan dengan inisiatif dan bantuan untuk meringankan beban keluarga, termasuk bantuan one-off untuk keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai serta bantuan untuk ibu yang melahirkan anak melalui inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia.

Khusus bagi aspek pentadbiran hal ehwal Islam, saya amat bersyukur atas peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam. Kesemua peruntukan yang dilaksanakan sebelum ini terus dikekalkan, termasuk bayaran khas one-off sebanyak RM500 kepada para murabbi ummah seperti guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut. Malah, kerajaan meneruskan pemberian bantuan penyelenggaraan fasiliti pendidikan sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar dengan peruntukan sebanyak RM150 juta, dengan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding tahun lepas.

Selain aspek pendidikan, pembangunan industri halal turut diberikan keutamaan dalam belanjawan kali ini. Sebanyak RM92 juta telah diperuntukkan khusus untuk menyemarakkan pembangunan industri halal, antaranya pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis di Sarawak, pelaksanaan program Malaysia Services and Halal Global, pelaksanaan inisiatif pembangunan industri halal, serta inisiatif Wakaf Halal PKS OKU. Kesemua ini akan membantu untuk mengangkat dan memartabatkan industri hab halal di Malaysia, di samping meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara.

Saya percaya, belanjawan yang dibentangkan adalah belanjawan yang menyentuh setiap keperluan dan kebajikan rakyat Malaysia, dari setiap lapisan, tanpa mengira tua atau muda. Sewajarnya belanjawan ini disokong sepenuhnya oleh semua Ahli Parlimen, andai kita benar-benar prihatin terhadap keluh kesah dan nadi derita rakyat.

Bermula minggu hadapan, belanjawan ini akan dibahas di Dewan Rakyat, dan seterusnya akan dibentang dan dibahaskan pula di Dewan Negara. Semoga belanjawan ini akan diterima secara sebulat suara dan sepenuh hati oleh semua Ahli Parlimen demi kemakmuran bersama dan kesejahteraan Keluarga Malaysia yang dicintai.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 9/10/2022

- Advertisement -