Sedia pemadam api di rumah sebagai langkah berjaga-jaga

- Advertisement -

Oleh NUR MARLYANNAH UMAR

LAHAD DATU:
Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan sekurang-kurangnya satu tong alat pemadam api di rumah terutamanya yang jauh daripada balai bomba.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Lahad Datu, Nurmia Habba, langkah itu sebagai persiapan untuk mengelakkan api merebak terlalu cepat sekiranya berlaku kebakaran sementara menunggu bantuan daripada pihak bomba.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian pada program penyampaian sumbangan wang tunai hasil derma kilat daripada orang ramai kepada mangsa kebakaran di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang kehilangan tempat tinggal pada 22 September lepas.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mereka,” ujarnya semalam.

Nurmia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang yang memberi kepercayaan dan kerjasama kepada PAS Lahad Datu untuk mengurus sumbangan kebakaran kepada pihak mangsa.

“Kami juga berharap masyarakat dapat membantu dan memberi sumbangan kepada keluarga mangsa agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” tambahnya lagi.

Seorang mangsa, Ibrahim Sudin ketika ditemui berkata, sewaktu kejadian, beliau ternampak asap tebal dari tempat kerja yang jarak rumahnya kira-kira 10 minit berjalan kaki.

Dia mendapat tahu kebakaran rumah setelah isterinya ke tempat kerja, lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati rumahnya telah hangus terbakar dan semua dokumen tidak dapat diselamatkan. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -