Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling atasi kelompangan

- Advertisement -

DALAM Perbahasan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 semalam, saya telah menzahirkan sokongan terhadap pindaan ini khususnya berkaitan peningkatan kadar hukuman, denda dan penalti setimpal kepada penjenayah alam sekitar.

Saya amat bersetuju dengan pindaan ini dan berpendapat ia wajar dilaksanakan bagi menampung kelompangan akta sedia ada selain ia dilihat selari dengan peredaran zaman dengan peningkatan isu-isu melibatkan alam sekitar pada masa ini.

Sebagai contoh, tragedi pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada 7 Mac 2019 yang telah menjejaskan kira-kira 6000 penduduk sehingga sekolah di kawasan tersebut terpaksa di tutup ekoran ia memberi kesan buruk terhadap rakyat di kawasan itu. 

Pencemaran seumpama ini bukan sahaja membahayakan penduduk sekitar, bahkan Kerajaan pula terpaksa membelanjakan berjuta ringgit bagi menanggung kos pembersihan dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa situasi seperti ini amat merugikan semua pihak dan sewajarnya Kerajaan perlu mengambil lebih serius perkara seperti ini agar ia tidak berulang lagi. 

Oleh itu, saya berpandangan penjenayah yang telah dikenal pasti melakukan jenayah ini yang perlu menanggung segala kos khususnya melibatkan pembersihan kawasan yang tercemar ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab mereka, di samping kos berbentuk pampasan kepada penduduk atau rakyat yang terkesan oleh sebab pencemaran yang berlaku.

Selain itu, tugas penguatkuasaan pindaan akta ini tidak boleh dilaksanakan secara bersepadu sekiranya pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mempunyai bilangan anggota yang mencukupi.

Justeru, saya berharap agar Kementerian boleh menambah bilangan penguatkuasa JAS termasuk di Sabah dan Sarawak agar penguatkuasaan pindaan akta ini boleh dilaksanakan secara efisien dan berkesan. 

Saya amat berharap dengan pelaksanaan hukuman yang lebih agresif dan tegas tanpa kompromi akan berupaya mendatangkan kegerunan terhadap penjenayah alam sekitar ini seterusnya mereka tidak lagi sewenang-wenangnya memandang ringan akan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Malaysia Sejahtera”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -