PM lambai tangan ke arah petugas media

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI | Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

KUALA LUMPUR:
Kehadiran Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ke Istana Negara petang ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan semasa politik negara.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam tiba masuk di Pintu 1, Istana pada 3.48 petang dilihat melambai ke arah media yang berada di sekitar kawasan itu sejak jam 8 pagi.

- Advertisement -

Bagaimanapun ketika ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan hari ini, Ismail Sabri dilapor berkata, ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincang pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong sekiranya berkesempatan.

“Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, itu pasal Kabinet sahaja,” ujarnya.

Menurutnya juga kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat kabinet.

Kata beliau ia bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

Banyak media memberi gambaran perdana menteri akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas menerima desakan daripada pemimpin Umno.

Namun sehingga sekarang tujuh negeri mengumumkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri akhir tahun ini dengan mengambil kira musim tengkujuh dan kekangan kehidupan rakyat.

Negeri terbabit iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -