KIAS lahir wartawan mahir bidang agama

KOTA BHARU: Impian bekas Menteri Besar Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melihat lahirnya penulis dan wartawan yang ada latar belakang pendidikan Islam kini menjadi kenyataan.

Sedangkan sebelum ini wartawan dilahirkan daripada graduan bidang kewartawanan dan komunikasi yang disediakan intitusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

Ekoran itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencetus idea melahirkan Maahad ad Dakwah Wal Imamah (kini Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi melahirkan wartawan ada fikrah agama.

Advertisement

KIAS menawarkan Diploma Dakwah Dengan Media bagi pengajian selama lima semester bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu penulisan dan kewartawanan sebagai kursus elektif bagi kursus-kursus lain termasuk Usuludin, Syariah, Tahfiz al Quran dan Bahasa Arab.

Pensyarah Pusat Khidmat Akademik KIAS Er Assoc Rosnani Ripin berkata, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian pelbagai bidang juga mengikuti kursus penulisan dan kewartawanan sebagai elektif.

Katanya, mereka diberi pendedahan dalam bidang penulisan dan kewartawanan sebagai ilmu bantu untuk melengkapkan pengajian mereka.

“Lawatan pelajar ke Pejabat Harakah Biro Pantai Timur hari ini untuk membolehkan mereka menimba pengalaman daripada editor dan wartawan yang bekerja dengan syarikat media.

“Sebelum ini pelajar hanya belajar aspek teori semata-mata tanpa ada pengalaman sebenarnya dunia kewartawanan yang begitu mencabar,” katanya pada lawatan tersebut.

Sempena lawatan itu seramai 53 pelajar kursus elektif pengajian penulisan dan kewartawanan KIAS mendapat taklimat disampaikan editor dan wartawan Harakah.

KIAS sebuah IPT milik kerajaan Kelantan, sehingga sekarang menawarkan sebanyak 25 kursus di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.

Pengajian peringkat Sarjana Muda yang ditawarkan termasuk Syariah dengan Pengurusan Halal, Usuluddin dengan Pengurusan, Pengajian Islam dengan Pengurusan, Tahfiz Al Quran dengan Pengurusan.

Selain itu Bahasa Arab, Pentadbiran Muamalat (Kewangan Islam), Sains Komputer dengan Multimedia dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Pengajian tersebut dalam tempoh 8 semester (4 tahun).

Selain itu 17 kursus peringkat Diploma bagi tempoh 5 hingga 6 semester. KIAS juga menawarkan program Asasi.

KIAS yang terletak di kampus di Nilam Puri mempunyai pelbagai kemudahan pembelajaran. Visinya sebagai institusi Pendidikan Tinggi Rabbani.

Pengambilan pelajar dibuat dua kali setahun iaitu sesi Jun dan November setiap tahun. Maklumat lanjut boleh hubungi talian 09 7129 386/09 7129 387 atau www.kias.edu.my – HARAKAHDAILY 6/10/2022