Kerajaan perlu utama keperluan rakyat di musim tengkujuh

- Advertisement -

Oleh FAIZAH ARBAIN

SANDAKAN:
Mengambil kira masalah laluan becak yang dihadapi penduduk Kampung Nanas Batu Sapi, PAS menggerakkan usaha membaiki jalan terbabit bagi keselesaan mereka.

Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu berkata, laluan tersebut perlu dibaiki segera memandangkan cuaca tidak menentu sekarang di mana sering berlaku hujan.

Katanya, hujan menyebabkan jalan sedia berlopak menjadi semakin luas.

- Advertisement -

“Laluan utama rosak dan becak ketika hujan menyebabkan selut memercik ke rumah-rumah di sekitar laluan itu ketika dilalui kenderaan.

“Dinding rumah penduduk dan kain jemuran mereka menjadi kotor kerana berlaku percikan selut,” katanya selepas menyerah sumbangan simen kepada penduduk Kampung Nanas di sini semalam.

Menurutnya juga terdapat kira-kira 20 keluarga yang tinggal di atas bukit berdekatan yang menggunakan laluan tersebut ke bandar.

Beliau juga berkata penduduk terbabit akan bergotong royong menyemen jalan dan laluan yang berlubang tidak lama lagi bagi keselesaan mereka.

Kata beliau dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang kemungkinan berlaku banjir tidak dapat ditolak.

“Apabila berlaku banjir banyak keperluan rakyat perlu diberi perhatian berbanding membubarkan Parlimen ketika musim tengkujuh sekarang.

“Kerajaan sepatutnya lebih prihatin dengan mendahulukan isu rakyat daripada membubarkan Parlimen pada keadaan musim tengkujuh sekarang.

“Pemimpin harus cakna terhadap masalah rakyat dan bukan mementingkan politik tanpa kira mengira masa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -