Wisma Putra pantau ahli politik Filipina menangguk di air keruh

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memantau tindakan beberapa ahli politik Filipina yang disifatkan cuba ‘menangguk di air keruh’ membabitkan tuntutan yang dibuat kumpulan yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Wisma Putra mengetahui apa yang berlaku di sana dan sedang memantau perkembangan isu berkenaan. 

“Tuntutan (pihak mendakwa waris) Kesultanan Sulu tiada kena mengena dengan kedaulatan negara, tuntutan ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia sebagai menuntut daripada apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah dahulu.

“Kita mengetahui dan kita pantau apa yang berlaku di sana, termasuk reaksi daripada ahli-ahli politik yang menangguk di air keruh di Filipina sekarang ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan, Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) sama ada kerajaan akan memanggil Duta Filipina berhubung isu dua Senator negara itu yang mahu Filipina memperbaharui tuntutan ke atas Sabah.

Menurut Wan Junaidi, tuntutan berhubung isu waris Kesultanan Sulu itu tidak pernah digugurkan Filipina.

Katanya, tuntutan itu pada satu ketika pernah hendak digugurkan, namun tidak berlaku dan dikekalkan sebagai isu politik di Filipina.

“Jika tiada isu politik lain, isu inilah yang akan dibangkit, tetapi setakat ini Wisma Putra telah mendapat maklum bahawa ada perkara yang dibangkit oleh senator-senator dan ahli-ahli politik Filipina di sana.

“Ketika itu nanti, apabila kerajaan Filipina memberi reaksi kepada kehendak ahli politik ini, barulah Wisma Putra akan mengambil tindakan,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) mengenai status tindakan diambil oleh kerajaan berhubung isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Wan Junaidi berkata, kerajaan giat melaksanakan tindakan komprehensif dalam menghadapi semua tindakan perundangan di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

“Sehingga kini, pihak penuntut yang mendakwa waris kepada Kesultanan telah membawa proses arbitrasi ke beberapa buah negara iaitu bermula di Sepanyol di mana pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid telah memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa telah pun terbatal dan tidak sah. 

“Namun, beliau bersama pihak penuntut bertindak tanpa mempedulikan keputusan pembatalan tersebut dan sebagainya telah memindahkan proses timbang tara dari Sepanyol ke Perancis. 

“Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan final award oleh Dr Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat-syarikat Malaysia di sana,” katanya. 

Rentetan itu kata Wan Junaidi, kes timbang tara seterusnya dibawa ke Perancis di mana Dr Gonzalo Stampa telah mengeluarkan final award pada 28 Februari 2020 yang memutuskan supaya Kerajaan Malaysia membayar kepada penuntut sejumlah AS$14.92 bilion. 

Justeru katanya, kerajaan telah mendapatkan perintah penangguhan pelaksanaan (stay of execution) pada 12 Julai 2022 bagi mencabarkan final award tersebut. 

“Walau bagaimanapun, sekali lagi, pasukan peguam penuntut terlebih dahulu memintas keputusan tersebut dan pada 11 Julai 2022 dengan notis sitaan bagi dua aset Petronas di Luxembourg telah dikemukakan melalui bailif di Luxembourg,” katanya.

Kata Wan Junaidi lagi, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi. 

“Percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL),” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022