Sayu hati dengar perjalanan hidup anak Dr Zulkifli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sayu hati mendengar kisah perjalanan hidup anakanda Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang pergi menghadap Ilahi dua hari yang lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menambah, anak yang baik dan soleh, hebat persis ayahnya, dan didoakan oleh rakyat Malaysia dan pemimpin dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah, saya berpeluang berkunjung ke teratak YB Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, mantan Menteri Agama yang lepas untuk menziarahi beliau atas pemergian anakandanya kelmarin,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini. (Foto atas)

- Advertisement -

Menurutnya, mereka berkesempatan berbual berkenaan urusan pejabat, suasana politik semasa dan perkembangan Dr Zulkifli dalam penulisan-penulisan yang bakal diterbitkan.

“Saya mohon semua sahabat di Malaysia mendoakan kami agar boleh terus menyumbang bakti kepada urusan agama di atas muka bumi Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Tambah beliau, apa lagi yang mahu dikejar melainkan meninggalkan sesuatu yang penting untuk urusan agama di dunia dan kehidupan kita semua di akhirat kelak.

“Terima kasih YB Datuk atas penerimaan dan layanan kunjungan kami di kediaman Datuk. Moga ianya bukan kali pertama dan terakhir kunjungan saya ke sini, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Anak Dr Zulkifli, Hammad, 22, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.22 pagi Ahad lalu kerana mengalami kanser right soft tissue sarcoma tahap empat kelima.

Dr Zulkifli dalam hantaran di laman sosial 2 Oktober lalu menyatakan amat sedih atas perpisahan dengan anakandanya itu.

“Air mata deras mengalir menyaksikan sendiri Hammad menghembuskan nafas terakhir di sisi Abah. Abah sekeluarga sejujurnya amat sedih atas perpisahan ini.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang banyak membantu kami menguruskan Hammad daripada awal, sehinggalah ke liang lahad.

“Bagi pihak keluarga, saya memohon maaf sekiranya ada salah dan silap di pihak anakanda saya, Hammad,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -