Kementerian Pertahanan ambil kira pandangan pengguna akhir

Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menetapkan setiap permohonan perolehan aset dan kelengkapan yang baharu perlu diperakukan oleh pihak pengguna sendiri.

Timbalan Menterinya, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata pengguna berkenaan, iaitu sama ada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

- Advertisement -

Katanya, selepas itu baharulah proses perolehan dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

“Perkara ini adalah antara usaha untuk mengelak sebarang unsur penyelewengan. Kementerian juga merancang menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan seperti yang disyorkan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP),” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari

Ahmad Fadhli meminta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan sama ada kementerian telah mengemas kini prosedur penganugerahan kontrak pembinaan kepada sesebuah syarikat yang akan bertanggungjawab membina aset pertahanan negara yang bernilai tinggi lanjutan daripada isu skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ikmal Hisham berkata, jawatankuasa itu akan berfungsi untuk menetapkan dasar dan membuat keputusan berkaitan perolehan aset, terutama bagi aset strategik yang bernilai tinggi yang memerlukan keputusan dibuat secara kolektif selain mengambil kira keperluan dan kehendak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, platform di peringkat tertinggi ini akan dapat membantu meningkatkan tahap kesiagaan ATM dari segi aset dan kelengkapan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli, Timbalan Menteri Pertahanan berkata, fokus Kementerian Pertahanan ketika ini ialah untuk memastikan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dapat menyelesaikan Reka Bentuk Terperinci untuk dimuktamadkan serentak dengan pembinaan kapal.

Ketika ini, katanya sebanyak 94 peratus Reka Bentuk Terperinci telah disiapkan oleh kontraktor dan setakat November 2019, OEM iaitu Naval Group (NG) telah meluluskan 82 peratus daripada 94 peratus Reka Bentuk Terperinci yang telah disiapkan oleh BNS.

“Perkara berkaitan Reka Bentuk Terperinci juga sedang dirundingkan oleh BNS dengan Naval Group dari Perancis. Ini penting bagi memastikan apa jua yang diputuskan kelak dapat memenuhi keperluan TLDM sebagai pengguna akhir.

“Naval Group juga telah memutuskan akan menghantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap Reka Bentuk Terperinci pada Oktober tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembinaan kapal LCS, katanya ia adalah mengikut konsep zon dengan baki enam peratus yang masih belum disiapkan oleh BNS hanya melibatkan Reka Bentuk Terperinci yang bukan zon kritikal (zon kapal atas permukaan air).

Bagi zon kritikal (zon kapal di bawah permukaan air), katanya Reka Bentuk Terperinci yang telah siap adalah antara 98 hingga 100 peratus. – HARAKAHDAILY 3/10/22

- Advertisement -