Dua lelaki didakwa culik ahli perniagaan ditahan semalam

ACP Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis semalam disyaki terbabit dalam menculik seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun di sebuah restoran di Ampang, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak, berkata pekerja kilang dan penjual sayur masing-masing berumur 37 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, di sini, kira-kira jam 3 petang.

Advertisement

“Lelaki berumur 40 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai lapan rekod lampau kesalahan dadah dan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif sebarang jenis dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata polis turut merampas kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire yang digunakan semasa kejadian tersebut serta beberapa pakaian dan telefon bimbit milik kedua-dua suspek berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah.

Jumaat lepas, Bernama melaporkan seorang ahli perniagaan cedera ringan selepas dilarikan sekumpulan lelaki di Jalan Pandan, Ampang di sini, dipercayai akibat masalah hutang.

Mangsa itu dilepaskan di Klang, beberapa jam selepas kejadian dan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam10.45 malam untuk membuat laporan. – BERNAMA