Sindiket dadah dicampur dalam serbuk minuman tumpas

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dicampur dalam serbuk minuman pelbagai perisa, selepas menahan empat individu termasuk sepasang kekasih dalam siri serbuan di sekitar daerah Timur Laut, di sini, 28 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya melakukan tiga serbuan dan merampas 150 gram (g) methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), ketamin (57.33g), pil ekstasi (123 biji) dan enam biji pil eramin5 yang kesemuanya bernilai RM168,034.

Dalam serbuan pertama, beliau berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Timur Laut menyerbu sebuah kondominium di Jelutong pada 2.30 petang dan menahan sepasang kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun dan wanita warga asing, 29, serta turut merampas 65g MDMA dan enam biji pil eramin5.

- Advertisement -

“Kami kemudiannya menyerbu sebuah lagi kondominium di Pengkalan Weld di sini dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun sebelum merampas 131 bungkusan pelbagai perisa serbuk minuman yang dicampur dengan dadah MDMA seberat 3.085g dan ketamin (22g),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, susulan penahanan mereka polis berjaya mengesan seorang lagi anggota sindiket itu di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor di sini.

Soffian berkata lelaki berusia 34 tahun itu bertindak memecut dan memandu keretanya secara berbahaya bagi mengelak pemeriksaan selain cuba melanggar anggota polis.

“Pasukan kami mengejar kereta dipandu suspek kira-kira lapan kilometer iaitu 10 hingga 15 minit sebelum pihak polis bertindak melepaskan tembakan sebanyak tujuh das ke arah tayar kenderaan suspek bagi memberhentikannya kerana kami bimbang tindakan dia memandu meluru yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, pihaknya menemukan 123 biji pil ekstasi dan 10 peket ketamin seberat 35.33g.

Katanya suspek tersebut berperanan membekalkan dadah kepada anggota sindiket lain sebelum mereka mencampurkan dadah itu ke dalam serbuk minuman.

Soffian berkata seorang daripada mereka yang ditahan bekerja sebagai pemandu Grab manakala yang lain tidak bekerja.

“Kesemua mereka direman hingga 7 Okt ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya sindiket itu bergiat aktif sejak Jun lepas dengan menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dadah dan mereka tidak bertemu dengan pembeli untuk urusan jual beli bahan terlarang itu. – BERNAMA

- Advertisement -