Rakyat diseru tolak politik rasuah tanpa kompromi

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Ustaz Dato’ Ahmad Yahya menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak budaya politik rasuah tanpa kompromi.

Menurutnya, kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai budaya rasuah yang membiak sejak 2019 di salah satu negeri Pakatan Harapan (PH) menunjukkan kegagalan PH membendung jenayah tersebut daripada berleluasa.

Tambahnya, PAS telah membuktikan pentadbiran kerajaan negeri yang bersih daripada sebarang kes rasuah sejak memerintah Kelantan pada 1990 serta dua penggal di Terengganu dan Kedah.

Advertisement

Beliau berkata, ramuan utama daripada pengalaman sifar rasuah itu hanyalah terletak kepada penghayatan agama disusuli ketelitian dan ketelusan tadbir urus pentadbiran kerajaannya.

Ironinya, ujar beliau hari ini nilai agama diketepikan sehingga membiarkan kerosakan membengkak.

“Islam sangat menegah budaya rasuah dalam kalangan umatnya. Kedua-dua pihak si pemberi mahupun sang penerima bakal menerima hukuman yang dahsyat di akhirat kelak,” ujarnya.

Bahkan, katanya kehidupan di dunia juga tiada keberkatan, ketenangan mahupun kebahagiaan walaupun hasil mahsul rasuah bernilai jutaan ringgit.

Menurutnya lagi, meskipun PH kononnya banyak mengetengahkan pelbagai polisi anti rasuah, ironinya negeri yang mereka sendiri tadbir menjadi lubuk jenayah rasuah berleluasa.

Ini, kata beliau berbeza dengan kerajaan hari ini yang masih mengekalkan identiti ‘good governance’ walaupun mentadbir dalam tempoh yang sama dengan pemerintahan PH.

“Atas prinsip ketegasan Islam melawan budaya rasuah, Dewan Ulamak PAS Pusat sekali lagi menyeru rakyat dalam negara ini supaya menolak budaya rasuah yang semakin meruncing dan sukar diubati,” tambahnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, kempen anti rasuah perlu diwacana sehingga ke akar umbi dan menjadi mesej utama dalam pilihan raya umum kelak.

“Yakinlah bahawa setelah pelbagai dasar dan polisi anti rasuah yang digubal gagal menghasilkan impak yang diharapkan, tinggal lagi kembali kepada jalan agama sebagai tunjang penyelesaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2022