Pertahan kestabilan kerajaan Keluarga Malaysia

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

SANGAT
tidak layak bagi sebuah parti yang menjadi anggota kerajaan saling menyerang dan menjadikan musuh antara satu sama lain termasuklah menyerang YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) yang diamanahkan sebagai ketua kerajaan.

Komponen parti memerintah, wajib mengambil tanggungjawab untuk menjaga kestabilan kerajaan demi keutuhan pemerintahan negara dan kesejahteraan rakyat.

Selama mana setiap parti itu bersetuju untuk menjadi anggota kerajaan, selagi mana Kabinet belum dibubarkan, sayugianya parti-parti yang menyertai Kabinet pentadbiran negara terus fokus mendepani isu-isu negara dan rakyat untuk diatasi dan diselesaikan bersama dengan bijak.

- Advertisement -

Elak bercakaran sesama sendiri serta saling tuding menuding dan menyalah antara satu sama lain. Ia suatu yang sangat memalukan dan hanya mendedahkan kelemahan diri sendiri kepada khalayak.

Sewaktu YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengisytiharkan kerajaan ini adalah Kerajaan Malaysia dan mengangkat Keluarga Malaysia sebagai satu tunjang pemerintahan Kerajaan Malaysia, maka sebenarnya ia bertujuan untuk menyatukan semua pihak dan mendamaikan.

Tidak perlu lagi mana-mana pihak mendakwa bahawa kerajaan ini dominan parti mereka lalu dinamakan kerajaan ini dengan identiti mereka sama ada Kerajaan Perikatan Nasional atau Kerajaan Muafakat Nasional.

Sebaliknya menjenamakan kerajaan ini sebagai Kerajaan Malaysia adalah tindakan bijak dan merangkumi penglibatan juga komitmen semua pihak. Sementara konsep Keluarga Malaysia pula menyatukan semua rakyat laksana sebuah keluarga.

Tidak mengapalah kepada parti-parti pembangkang yang siang dan malam mensasarkan serangan mereka kepada parti pemerintah. Begitulah demokrasi membenarkannya dan boleh menjadi check and balance kepada kerajaan yang memerintah.

Sementara parti kompenan pemerintah, jangan berminda  pembangkang, usah silap jari untuk menuding dan lajak lidah dengan mengisytiharkan sesama sendiri sebagai musuh. Sebaliknya eratkan kerjasama untuk bangunkan negara serta bina keharmonian untuk berkhidmat kepada rakyat.

Inilah antara kenapa PAS mengangkat agenda perpaduan ummah. Antara objektifnya ialah mahu menyatukan parti-parti umat Islam lalu mengukuhkan pemerintahan Melayu Islam dan kebersamaan bukan Islam yang tidak ekstrem serta memberi khidmat berkesan kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama dan parti politik.

PAS hanya mengisytiharkan sesuatu pihak itu sebagai musuh, apabila mereka bersikap ekstrem malah menentang hasrat dan agenda pengukuhan pemerintahan Melayu Islam ini berdaulat di Malaysia.

Bertolak dari noktah itu, PAS isytihar musuhnya ialah PH bukan BN. Justeru BN adalah rakan kerjasama politik bahkan rakan komponen parti yang memerintah negara semasa. – HARAKAHDAILY 26/9/2022

- Advertisement -