PAS konsistem perkasakan perpaduan ummah

Datuk Idris Ahmad memeriksa anggota kawalan kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat di Tawau.
- Advertisement -

Oleh: ANDI ATMA

TAWAU: PAS masih konsisten menjalinkan hubungan dengan Umno dan Bersatu sehingga sekarang demi agenda perpaduan ummah.

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad, berkata hubungan PAS bersama kedua-dua parti Melayu dan Bumiputera masih baik serta bersama mentadbir kerajaan.

- Advertisement -

Katanya, naratif PAS konsisten dalam soal perpaduan ummah dan komited mahu menyatukan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

“Justeru itu, kerjasama PAS, Umno dan Bersatu diteruskan dan dikekalkan bagi menguatkan hubungan dalam kalangan umat Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, hari ini.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, kira-kira 65 peratus orang Islam di seluruh negara perlu bersatu membentuk sebuah kerajaan yang lebih kukuh dan stabil.

Katanya, jika rakyat Bumiputera dan Islam bersatu, sudah pasti kaum dan agama lain dapat menumpang teduh bersama.

“Prinsip PAS kekal mahu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak menguasai politik di negara kita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Ditanya mengenai calon PAS di Sabah, katanya setakat ini semua negeri sudah menghantar senarai nama termasuk Sabah untuk bertanding pada PRU15.

Bagaimanapun, katanya perbincangan lebih lanjut perlu dibuat mengenai calon di Sabah setelah meneliti maklumat yang diberi pimpinan PAS negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 25/9/22

- Advertisement -