YaPEIM sumbang 10 bot bantu operasi menyelamat di Sabah

Datuk Idris Ahmad (tiga dari kanan) ketika majlis penyerahan bot sumbangan YaPEIM di Tawau.

Oleh AHMAD HUSNAYAN

TAWAU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyampaikan sumbangan sebanyak 10 bot untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh Sabah.

Sumbangan bot bernilai RM84,000 itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Idris Ahmad.

Advertisement

Idris berkata, sumbangan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YaPIEM untuk membantu operasi menyelamat yang dikendalikan agensi kerajaan di negara ini.

Katanya, peranan JBPM cukup besar, bukan sahaja menjalankan tugas mengawal kebakaran, malah melakukan kerja-kerja menyelamat pada musim banjir.

“Sudah pasti tugas menyelamat memerlukan kapasiti aset yang besar serta berfungsi dengan baik ketika diperlukan.

“Justeru itu, bagi memastikan kesiapsiagaan JBPM Sabah berada pada tahap optimum, YaPIEM mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan 10 bot,” katanya pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada wakil-wakil Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh Sabah di sini, hari ini.

Sebanyak 10 BBP menerima bantuan itu, iaitu Penampang, Beaufort, Kimanis, Kuala Penyu, Kota Marudu, Kota Belud, Beluran, Sook, Tenom dan Merotai.

Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Awang @ Musran Tawil; Ketua Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Zon Tawau, Jasri Jal dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Taqwa-MAIWP, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

Menurut Idris, aset-aset berkenaan membolehkan pasukan JBPM melakukan kerja menyelamat dengan lebih efisyen ketika musim banjir.

“Walaupun sumbangan agak kecil, diharapkan mampu membantu dan memudahkan setiap operasi yang dijalankan anggota JBPM di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata, YaPIEM sebelum ini sering menyantuni masyarakat di Sabah melalui pelbagai program seperti agihan Foodbank, Sinar Kasih, Inspirasi Prihatin YaPIEM dan bantuan keusahawanan. – HARAKAHDAILY 25/9/22