Tapak pelupusan Pulau Burung terus tercemar?

- Advertisement -

LAJNAH Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pulau Pinang menggesa supaya penjenayah alam sekitar yang bertanggungjawab melepaskan air larut resapan (leachate) tercemar ke paya bakau daripada tapak pelupusan sanitari Pulau Burung didakwa dan diambil tindakan segera.

Kegagalan pengurusan tapak pelupusan Pulau Burung di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)  ini berterusan daripada pencemaran udara gas Metane beracun selepas beberapa siri kebakaran dan terkini adalah pelepasan air larut resapan yang mencemarkan laut.

Bencana kebakaran besar berlaku pada Januari lalu yang melibatkan 11 hektar kawasan yang berlarutan kira-kira 2 minggu dan pada Mei lalu insiden kebakaran telah berulang. Pencemaran air larut resapan pula sebenarnya telah berulang kali menjadi rungutan penternak ikan sangkar dan nelayan .

Kenyataan Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Sharifah Zakiah dalam satu laporan portal berita semalam menyatakan bahawa pihaknya melakukan siasatan di tapak pelupusan sampah tersebut dan menemui kewujudan aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan dan seterusnya ke laut.

Beliau menambah, tindakan penjenayah mencemarkan paya bakau ini seolah-olah dirancang awal dengan batang-batang paip yang dibawa masuk, dipasang dan dikambuskan selepas itu adalah satu tindakan yang keji kepada alam sekitar.

LATAS juga menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih tegas serta bertanggungjawab dan memberi penjelasan segera terhadap salah laku jenayah alam sekitar yang mempertaruhkan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan kelestarian alam ini.

LATAS merakamkan penghargaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertindak pantas terhadap laporan yang diadukan oleh penduduk tempatan.

LATAS menyifatkan kerajaan negeri masih lagi gagal dalam menyediakan tapak pelupusan sanitari yang beroperasi dengan selamat untuk rakyat selepas kejadian kebakaran besar di Pulau Burung pada Januari awal tahun ini.

Diharap slogan kerajaan negeri yang hendak membawa Pulau Pinang ke arah Cleaner, Greener dilakukan secara serius, bukan sekadar slogan.

Sekian, Terima Kasih

“Malaysia Sejahtera”

SAIFUL LIZAN MD YUSOFF
Pengerusi, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -