PH tidak sesuai dengan budaya Malaysia

Oleh SUZIANA GHANI

LAHAD DATU:
Tidak timbul isu PAS untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tambahan pula, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, pendekatan PH tidak sesuai dengan budaya Malaysia.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 15 September lalu yang menjelaskan kenapa parti itu menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan PH.

Advertisement

Menurutnya, PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersama PH.

Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH, khususnya yang melibatkan hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh, dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara.

Oleh itu, kata Norsah, Muslimat PAS negeri mengambil pendirian yang sama dengan Pusat menolak kerjasama dengan PH.

Menurutnya, perjuangan yang dibawa PH mengandungi elemen yang tidak sesuai dengan budaya Malaysia.

Ini, ujarnya kerana PH lebih cenderung kepada membenarkan budaya arak serta LGBT yang sangat menyimpang daripada budaya rakyat negara ini.

“Bukan sahaja bertentangan dengan agama Islam malah tidak selari dengan mana-mana agama lain yang ada di negara kita,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Secara tegasnya, menurut Norsah, perkara itu lambat atau cepat akan merosakkan budaya masyarakat dan institusi kekeluargaan.

Tambahnya, sudah banyak kes kepincangan keluarga, keganasan rumahtangga, pengabaian isteri dan anak-anak berpunca daripada judi, arak dan LGBT.

“Daripada kenyataan beberapa orang pimpinan PH jelas menunjukkan pendirian mereka agar Malaysia menjadi negara yang mengiktiraf golongan LGBT.

“Mereka juga mempertahankan budaya arak dan judi, yang jelas dibenci oleh agama dan terbukti memberi kesan yang buruk dalam institusi kekeluargaan,” ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi.

Beliau turut mengingatkan rakyat, cukuplah dengan kegagalan selama 22 bulan PH berkuasa dan jangan lagi memberi mandat untuk memerintah.

Ini, ujar beliau memberi kesan yang negatif kepada keharmonian hidup rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 22/9/2022