Sila bagi nama lantikan politik di SADA

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pengarah Komunikasi Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, diminta mengemukakan nama-nama pegawai atau kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang berkhidmat atas lantikan politik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini semua pegawai dan kakitangan SADA merupakan profesional dan berkelayakan.

“Saya minta dia (Saiful) kemukakan nama-nama kakitangan atau pegawai SADA yang dilantik atas lantikan politik.

- Advertisement -

“Sedangkan semua pegawai dan kakitangan SADA dilantik berdasar latar belakang yang selari dengan keperluan dan bukan atas dasar lantikan politik,” katanya pada kenyataan di sini.

Pada Rabu lepas Saiful dilapor mendesak Menteri Besar supaya lebih bersikap tegas terhadap rungutan daripada terus melindungi dan mempertahankan kelemahan SADA.

Beliau turut mendesak individu lantikan politik di SADA dikurangkan serta memecat mana-mana kakitangan yang gagal mempamerkan prestasi baik termasuk ketua pegawai eksekutif.

Sanusi yang juga Pengerusi SADA berkata, masalah air yang berlaku di Kedah bukan isu kakitangan SADA tidak berkelayakan sebaliknya infrastruktur bekalan air yang lama.

“Paip dan loji kita uzur dan perancangan pembangunan sebelum ini seperti perumahan, perbandaran dan industri baru diluluskan tanpa membangunkan sekali infra air.

“Zaman Umno/Barisana Nasional menjadi kerajaan dahulu memang ada lantikan politik. Mereka dilantik menjadi kakitangan SADA kononnya sebagai penyelidik kanan tetapi buat kerja politik,” katanya.

Malah dakwanya budaya seumpama itu wujud ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), di mana gaji pegawai Pejabat Menteri Besar dibayar hasil pendapatan SADA.

Sanusi menegaskan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SADA sekarang tidak mencampuri urusan operasi syarikat berkenaan sebaliknya hanya membuat keputusan dasar.

ALP SADA yang dilantik termasuk dalam kalangan Pegawai Kerajaan Negeri, Exco Bekalan Air serta bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) yang jelas berkemampuan memberi fokus kepada urus tadbir yang berintegriti.

“Jadi sila namakan lantikan politik yang mana dimaksudkan perlu dipecat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -