Zakat emas, kewajipan yang jarang diperkatakan

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Mengeluarkan zakat adalah wajib bagi umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya dan antara zakat lazim ialah zakat fitrah, pendapatan dan harta.

Namun, amat jarang diperkatakan tentang zakat emas, baik yang dimiliki sebagai perhiasan diri ataupun pelaburan.

Perintah Allah SWT tentang pembayaran zakat aset bernilai tinggi itu jelas dalam Surah At-Taubah, ayat 34 dan 35, yang antara lain menjanjikan balasan neraka jahanam bagi mereka yang tidak menginfakkan emas milik mereka ke jalan Allah menerusi zakat.

Advertisement

Celik zakat emas

Dari segi perdagangan, emas merupakan aset selamat yang menjadi pilihan pelabur kerana nilainya yang stabil dan umumnya kental sekalipun berlaku ketidakstabilan geopolitik global, tidak seperti komoditi lain yang berisiko merudum.

Lantaran itu juga semakin ramai umat Islam di negara ini memilih pelaburan emas, baik dalam bentuk saham, emas fizikal seperti jongkong dan syiling atau barang perhiasan. Namun, bagaimana pula dengan tahap kefahaman mereka tentang zakat emas?

Bagi Siti Hidayah Zulkifli, 25, dia didedahkan kepada “pelaburan” emas sejak kecil apabila ibunya sentiasa membelikan emas perhiasan untuk dia dan adik-beradik sebagai simpanan bagi kegunaan masa depan.

Pada masa sama kata suri rumah itu, dia juga didedahkan kepada kaedah pengiraan zakat emas, baik untuk barang kemas ataupun pelaburan emas oleh ibu bapanya.

“Emas perhiasan wajib dibayar zakat apabila jumlah berat emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi nisab 800 gram (bagi Kuala Lumpur dan Selangor) dan melepasi tempoh masa 12 bulan (setahun) yang dipanggil cukup haul.

“Jika emas perhiasan atau pelaburan sudah melebihi kadar uruf emas dan cukup tempoh setahun, pemiliknya perlu membayar zakat pada kadar 2.5 peratus daripada harga emas (mengikut harga semasa) dan berat emas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama. 

Berbeza dengan emas perhiasan, emas fizikal yang diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan, lazimnya dalam bentuk syiling, jongkong dan wafer, wajib dizakatkan apabila mencapai nisab minimum 85 gram.

Pelabur emas fizikal, Suzanna Ismail, 42, berkata jongkong emas yang dimilikinya mempunyai tarikh pembelian, sekali gus memudahkannya mengingati tempoh membayar zakat.

“Kalau cukup tempoh haulnya setahun, dan nisab cukup 85 gram, maknanya dah kena bayar zakat. Saya mula bayar zakat jongkong emas ini sejak Disember 2021,” kata pegawai Angkatan Tentera Malaysia itu.

“Sekalipun orang lain tidak tahu kalau kita tidak bayar zakat, bagi saya berzakat adalah tanda kita bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Sebagai tanda kita bersyukur, kita wajar pulangkan balik sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan itu untuk dikongsikan dengan yang lain,” tambahnya.

Emas perhiasan tak perlu bayar zakat?

Dalam pada itu, ada kefahaman dalam kalangan sesetengah umat Islam bahawa emas perhiasan tidak perlu dizakatkan, asal si pemilik sentiasa memakainya.

Mengulas kefahaman itu, Pengurus Kanan Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Ahmad Husni Abdul Rahman berkata ulama berpandangan emas yang dipakai pada asasnya tidak dikenakan zakat walaupun harta tersebut merupakan mal zakawi (harta yang boleh dikenakan zakat).

Namun, disebabkan wujud trend pembelian dan pemilikan emas perhiasan melebihi kewajaran, Mazhab Al-Shafie menetapkan satu tanda aras bagi pengeluaran zakat emas perhiasan.

“Setelah pemilikan emas perhiasan seseorang itu sampai ke tahap jumlah nisab emas perhiasan tersebut, maka ia sudah melebihi tahap kewajaran pemakaian emas perhiasan, dan diwajibkan membayar zakat kerana dianggap melebihi keperluan.

“Takkan semua benda yang kita miliki hanya untuk diri kita sedangkan ada orang lain yang lebih memerlukan? Maka diletakkan satu kadar.

“Kadar yang ditetapkan di Wilayah Persekutuan dan Selangor ini, iaitu sebanyak 800 gram (minimum), bukan dibuat secara suka-suka, tetapi diputuskan selepas kita membuat kajian tentang pemilikan emas perhiasan di kedua-dua wilayah ini,” jelasnya.

Pembayar zakat emas meningkat

Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata jumlah pembayar zakat emas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor meningkat dari tahun ke tahun, menunjukkan tahap kesedaran umat Islam tentang kewajipan itu juga bertambah baik.

Ujarnya, ketika penularan pandemik Covid-19 memuncak di negara ini dalam tempoh dua tahun lepas, PPZ-MAIWP menjangkakan jumlah mereka yang menunaikan zakat berkurangan kerana ramai yang terkesan termasuk kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, barangkali disebabkan kesedaran terhadap kewajipan, masyarakat lebih dekat dengan Maha Pencipta selepas dilanda musibah Covid-19 (dan berlaku peningkatan jumlah pembayar zakat emas).

“Bahkan kita mencapai kutipan tertinggi sepanjang operasi ketika musim pandemik COVID-19. Jadi itu menunjukkan meskipun ramai yang terkesan (oleh pandemik),  musibah yang melanda itu membawa rahmat.

“Atas kesedaran itu mungkin mereka tampil untuk membantu orang yang lebih memerlukan melalui zakat,” ujarnya.  

Qada’ bayar zakat emas

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang sebelum ini tidak pernah menunaikan zakat emas atas faktor kejahilan, perlu berbuat demikian selepas mengetahui kewajipannya.

“Setelah kita tinggalkan pada saat ia diwajibkan (cukup haul), maka perkara tersebut wajib kita qada’ (ganti) sebagaimana kalau kita meninggalkan solat, maka kita wajib qada’ solat dan puasa itu.

“Begitu juga ibadah zakat. Kalau kita terlepas daripada menunaikan pada saat kewajipannya (cukup haul), ia wajib diganti semula. Bagaimanapun, penggantiannya adalah berdasarkan waktu kewajipan itu ditinggalkan (bayar mengikut kadar pada waktu itu) dan tidak digandakan serta tiada denda dikenakan,” jelasnya.

Jelas beliau,  konsep sama terpakai sekiranya anak-anak mewarisi harta berbentuk emas daripada orang tua mereka yang telah meninggal dunia dan mengetahui emas tersebut tidak pernah dibayar zakat.

“Sebagai solusi, sebelum dibahagi-bahagikan emas itu kepada waris-waris yang berhak, perkara utama yang perlu dibuat ialah membayar zakatnya terlebih dahulu. Selagi dia tidak tahu (mengenai zakat emas) dia tidak berdosa, tetapi bila dia sudah tahu, dia kena laksanakan terus dengan segera,” katanya.

Kemudahan di PPZ-MAIWP

PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan umat Islam berzakat, antaranya pembayaran terus di kaunter, perbankan Internet, portal PPZ-MAIWP, potongan gaji serta e-dompet, selain Kempen Zakat Emas yang dilaksanakan oleh MAIWP bersama HABIB Jewels.

 Kempen Zakat Emas itu bertujuan meningkatkan kesedaran menunaikan zakat emas khusus kepada para pelanggan HABIB.

Mengangkat tema ‘Permata Firdausi’, kempen itu juga turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa berupa baucar tunai HABIB bernilai hingga RM10,000 dan 10 syiling wafer emas edisi terhad HABIB untuk pembayar bertuah yang menunaikan zakat emas di PPZ-MAIWP bermula 1 hingga 30 Sept 2022.

“Kita juga ada kempen menerusi dakwah di media massa dan dakwah-dakwah yang dijalankan di masjid serta surau seperti bacaan khutbah pada hari Jumaat untuk menggalakkan masyarakat kita menunaikan zakat emas.

“Bila kita laksanakan satu kempen secara khusus, kita akan menggerakkan seluruh jentera yang ada di PPZ, sama ada di peringkat pemasaran, dakwah, aktiviti dan soal jawab,” katanya, menambah PPZ-MAIWP turut menyediakan poster berkaitan zakat emas untuk disebarkan menerusi media sosial, di samping terlibat dengan penggerak media dan pempengaruh. – BERNAMA