Pemancing hilang di laut, dua mayat ditemukan

- Advertisement -

BINTULU: Enam lagi pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Mukah pada Selasa malam ditemukan selamat hari ini, sementara dua lagi disahkan meninggal dunia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata empat daripada mereka yang selamat itu dijumpai pada kira-kira 8.40 pagi oleh nelayan yang berada dalam kawasan pencarian.

- Advertisement -

Beliau berkata sebuah bot pemancing, Himajaya yang turut berada di kawasan itu menjumpai mayat pertama insiden itu pada kira-kira 10.30 pagi sebelum menjumpai dan menyelamatkan dua lagi mangsa kira-kira sejam kemudian.

“Pada 12.30 tengah hari, satu mayat lagi dijumpai oleh bot Pasukan Polis Marin (dalam kawasan pencarian). Hanya tinggal seorang lagi mangsa yang masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Dalam kenyataan terdahulu, beliau berkata dua daripada pemancing dalam bot karam itu ditemukan terapung dan diselamatkan kru sebuah kapal, MT Capella yang melalui lokasi kejadian pada kira-kira 3 petang semalam, sebelum membawa mereka terus ke Pelabuhan Senari di Kuching.

Mohd Khairul berkata kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 8.30 malam pada Selasa lebih kurang 34 batu nautika (63 kilometer) dari barat laut Mukah sebelum Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching mengaktifkan operasi pencarian setengah jam kemudian.

Katanya Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut diaktifkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mukah bermula pada 8 pagi tadi.

Menurutnya dua kapal dan sebuah pesawat udara APMM, selain sebuah bot serta pesawat udara polis dan sebuah kapal Jabatan Perikanan Laut Sarawak terlibat dalam operasi pencarian, sementara pihak Sarawak Shell pula menyediakan platform untuk membantu aset yang terlibat. – BERNAMA

- Advertisement -