Institusi pendidikan PAS bersama denyut nadi rakyat Sabah

- Advertisement -

Oleh MARTINA TAHIL 

LAHAD DATU:
PAS membawa matlamat yang jelas iaitu meneruskan agenda pendidikan, kebajikan dan dakwah walaupun secara politiknya masih belum menang.

Menurut ADUN Sabah (Dilantik), Dr Aliakbar Gulasan, parti itu diterima di negeri ini dengan penerimaan masyarakat terhadap TASTI, PASTI, SRITI dan SMITI.

“Kekuatan utama PAS adalah institusi dan sektor pendidikan yang sentiasa bersama dengan denyut nadi masyarakat di Sabah.

- Advertisement -

“PAS Sabah sudah mempunyai pelbagai institusi pendidikan yang menjadi bukti bahawa PAS sudah pun bersama masyarakat dan bukan hanya berfokuskan politik semata-mata,” ujarnya.

Beliau menjelaskan semasa menjawab soalan dalam siaran langsung program Sabah Bangkit: PAS Sabah pilih MN atau PN di Facebook Demi Sabah, semalam.

Menurutnya, PASTI di Sabah sudah melebihi 120 buah, hatta masyarakat bukan Islam pun boleh mendaftar sebagai pelajar bagi yang berminat malahan tidak dipaksa belajar agama kerana itu bukan pendekatan yang dibawa. 

“Anak-anak pimpinan parti politik lain yang bukan daripada PAS pun sebahagiannya lebih yakin kepada PASTI dan SRITI.

“SRITI menggabungkan silibus integrasi iaitu bukan sahaja boleh membaca dan menulis tetapi boleh menghafal al-Quran dan hadis,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS negeri.

Beliau berkata, PAS memberikan pendidikan agama serta ilmu kepada masyarakat yang merupakan fokus yang berbeza daripada meraih undi.

“Apa yang penting adalah masyarakat faham agama,” tambahnya.

Malahan menurut beliau, sekiranya PAS menang dalam pilihan raya merupakan sebahagian bonus daripada kerja-kerja politik.

Tambahnya, segelintir ahli politik hanya nampak kerja-kerja politik pada waktu pilihan raya sahaja sedangkan PAS sentiasa dan tidak pernah gagal menjalankan kerja-kerja kebajikan, dakwah serta politik di negeri ini. 

Oleh itu, Dr Aliakbar menegaskan, apabila ada yang berkata bahawa PAS tidak sesuai berada di Sabah, mereka sebenarnya tidak sedar bahawa parti itu sudah lama bersama dengan masyarakat di negeri ini. – HARAKAHDAILY 22/9/2022

- Advertisement -