Salah laku penonton Liga Perdana makin serius

Eric Dier ketika Tottenham Hostpur menentang Chelsea
- Advertisement -

Pertahanan Tottenham Hotspur, Eric Dier, menyifatkan tingkah laku penonton perlawanan bola sepak kini adalah masalah serius dan mengaku tidak selesa membiarkan ahli keluarganya menghadiri perlawanan di tempat lawan.

Jun lalu, Liga Perdana mengumumkan akan memperkenalkan langkah keselamatan tambahan bagi mencegah salah laku penonton dengan kelab sebulat suara bersetuju bahawa pasukan pelawat akan menyediakan kakitangan keselamatan tambahan untuk perlawanan di tempat lawan.

- Advertisement -

Dier berkata, ahli keluarga dan rakannya menghadapi masalah di Stamford Bridge ketika Tottenham seri 2-2 dengan Chelsea dalam perlawanan liga bulan lalu.

“Tingkah laku peminat adalah masalah yang serius. Saya mempunyai beberapa ahli keluarga dan rakan pada perlawanan menentang Chelsea. Mereka berdepan masalah di sana,” katanya.

“Saya ingin menekankan bahawa masalah ini membabitkan kedua-dua kumpulan peminat. Saya tidak mengatakan puncanya adalah peminat Chelsea atau peminat Tottenham, ia adalah peminat bola sepak secara umum.”

Pada 2020, Dier digantung empat perlawanan dan didenda oleh Persatuan Bola Sepak England kerana berkonfrontasi dengan peminat selepas kekalahan Spurs kepada Norwich City dalam Piala FA. Media British melaporkan penyokong Norwich bertengkar dengan abangnya.

“Dalam perlawanan berikut menentang Burnley, peminat kelab itu menyanyikan lagu mengenai abang saya dan ini agak melucukan,” katanya. – BBC FOOTBALL

- Advertisement -