Conte gesa pemain Spurs terima penggiliran

Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte
- Advertisement -

Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte, berkata pemainnya perlu menerima penggiliran skuad musim ini, malah pemain seperti Son Heung-min, yang muncul sebagai penjaring terbanyak bersama Liga Perdana musim lalu, tidak akan bermain setiap kali permainan.

Son menjaringkan 23 gol liga musim lalu, tetapi masih belum menemui jaringan dalam kempen kali ini dan dengan Harry Kane, Richarlison dan Dejan Kulusevski, bersaing untuk mendapatkan tempat, Conte berkata tidak semua penyerang berpeluang beraksi.

- Advertisement -

Conte sebelum ini dilaporkan berkata, dia akan “gila” untuk menggugurkan Son, tetapi apabila ditanya sama ada pemain Korea Selatan itu boleh dikenakan penggiliran, dia berkata: “Saya fikir apabila anda cuba membina sesuatu yang penting… anda perlu mengubah tabiat lama.

“Jika tidak, ia bermakna anda mahu kekal di takuk lama dan tidak mahu mempunyai cita-cita. Berdasarkan sebab ini, semua pemain perlu menerima penggiliran, terutama di bahagian depan, kami mempunyai empat pemain.

“Tabiat lama ialah pemain sudah biasa bermain dalam setiap perlawanan,” kata Conte menjelang perlawanan Liga Juara-Juara di Sporting Lisbon, hari ini.

“Apa yang berlaku dalam situasi begini ialah anda tidak mempunyai kemungkinan besar untuk menang. Anda cuba menggembirakan pemain, tetapi kelab besar mempunyai skuad yang besar dan mendalam.”

Liga Perdana menangguhkan perlawanan hujung minggu lalu sebagai tanda penghormatan berikutan kematian Ratu Elizabeth dan Conte berkata, ini memberi peluang kepada pasukannya untuk berehat…tetapi Piala Dunia mungkin menyebabkan terdapat masalah dalam penjadualan semula perlawanan.

“Pastinya keputusan Liga Perdana menangguhkan perlawanan sedikit sebanyak membantu kami pulih… jadual perlawanan, untuk mencari masa dan ruang akan menjadi sangat, sangat sukar,” katanya.

- Advertisement -