Maritim Malaysia tahan 2 lelaki tangguk siput

Bot fiber yang digunakan dua lelaki menangguk siput secara haram
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai menangguk siput retak seribu di perairan Kuala Perlis dekat sini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata mereka yang menggunakan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran berada kira-kira 0.9 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kuala Perlis.

- Advertisement -

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat orang awam mengenai kegiatan itu yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis.

“Nilai bot dan hasil tangkapan siput yang dirampas dianggarkan sebanyak RM7,550,” katanya di sini.

Sementara itu, katanya hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki terbabit dipercayai menangguk siput retak seribu secara haram, manakala bot itu berpangkalan di Jeti Kurong Tengar di sini.

Beliau berkata, mereka yang berumur antara 28 hingga 33 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengkut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

Katanya, kegiatan menceroboh kawasan perikanan untuk menangkap siput secara haram masih berlaku di negeri ini kerana Perlis adalah habitat pembiakan baka siput retak seribu. – HARAKAHDAILY 20/9/22

- Advertisement -